JOKOWI
JOKOWI
Agensi

Jakarta: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengancam memecat anggota polis dan tentera yang gagal menghalang kebakaran hutan dan ladang tahun ini.

Dia turut menggesa penguatkuasaan undang-undang musnah dan bakar ditingkatkan serta kaedah pencegahan kebakaran yang lebih berkesan dilaksanakan.

“Saya sudah menyelaraskan perkara ini dengan Ketua Polis Jeneral Badrodin Haiti dan panglima tentera Jeneral Gatot Nurmantyo untuk melaksanakan sistem ganjaran dan hukuman. Jika terdapat banyak kes kebakaran hutan dan ladang, anggota yang terbabit akan dipecat dan diganti. Sebaliknya, mereka yang berprestasi bagus akan dinaikkan pangkat,” katanya kelmarin.

Jokowi turut menyokong penyelarasan dan kerjasama antara polis dan tentera dengan Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan (BNPB) serta Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan untuk memastikan kebakaran tidak berlaku tahun ini.

“BNPB tidak mempunyai pasukan, tetapi polis dan tentera ada. Pemerintah tentera wilayah, ketua polis wilayah, markas tentera daerah, ketua polis daerah, semuanya perlu dikerahkan.

“Kamu perlu membuat lawatan ke kawasan berkenaan, bukan hanya duduk di pejabat saja,” kata Jokowi.

Menurutnya lagi, pemimpin wilayah seperti gabenor, datuk bandar dan ketua daerah juga perlu memainkan peranan menangani pembakaran hutan, terutamanya menerusi pembiayaan, selain membantu dalam sokongan logistik dan teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:36 AM