RUMAH musnah terbakar dipercayai akibat tindakan seorang lelaki mengamuk. FOTO ihsan bomba
RUMAH musnah terbakar dipercayai akibat tindakan seorang lelaki mengamuk. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Alif Amal Azahari


Matang: Polis sudah menggerakkan pasukan untuk memburu suspek yang menetak dan membakar tiga sekeluarga di Kampung Tumu di sini, hari ini

Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan memulakan operasi mengesan suspek di hutan berhampiran.

Polis juga membawa Unit K9 untuk menjalankan operasi berkenaan.

Suspek berusia 50-an dipercayai kurang siuman dilihat melarikan diri sambil membawa parang sejurus kejadian.

Tiga sekeluarga itu maut selepas ditetak suspek menggunakan parang kira-kira 3 petang sebelum rumah mereka dibakar.

Sementara itu, saksi kejadian Abdul Rahman Abdullah, 16, berkata, mangsa yang maut adalah abang ipar serta datuk dan neneknya.

Menurutnya, suspek menyerbu masuk ke dalam rumah sambil membawa parang sebelum menetak mangsa.

"Suspek memang dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang kurang siuman dan tinggal bersendirian di pondok di hutan berhampiran.

"Saya terkejut dan tidak sangka suspek bertindak sedemikian sehingga menyebabkan saya hilang ahli keluarga sekelip mata," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Joe Abdullah, 36, serta suami isteri Daud Abdullah, 64 dan Noraini Abdullah, 62, manakala Hassan Abdullah cedera ditetak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 7:43 PM