Reuters

London: Tottenham Hotspur kelab pertama mendedahkan kelemahan dalam skuad Manchester City kendalian Pep Guardiola (gambar) dan pasukan utara London yang berada pada prestasi terbaik itu sedia meranapkan cabaran lawan di Stadium Etihad, awal pagi Ahad ini.

Apabila City bertandang ke White Hart Lane Oktober lalu, mereka tampil dengan bekas pengendali Barcelona Guardiola mengancam untuk mengubah musim sulungnya di England sebagai sesuatu yang mudah selepas pasukannya menang enam perlawanan Liga Perdana berturut-turut.

Kekalahan 0-2, yang mungkin lebih teruk lagi, ternyata bukan hanya sekadar kebetulan namun realiti sebenar buat warga Sepanyol itu yang mana pasukannya tidak sama lagi sejak itu.

Ketika Tottenham muncul sebagai pencabar kejuaraan sejati, menang enam perlawanan liga terakhir untuk melonjak ke tangga kedua dan tujuh mata di belakang Chelsea, City merudum ke tangga kelima selepas dibelasah Everton 0-4 hujung minggu lalu.

Guardiola, yang menyambut hari jadi ke 46 kelmarin, perlukan tindak balas segera daripada skuad yang dibelenggu kelemahan bertahan, masalah usia dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan diterapkannya.

City hanya berjaya tidak dibolosi 25 peratus saja dalam perlawanan mereka di bawah kendalian Guardiola dengan penjaga gol Claudio Bravo, pemain yang menyingkirkan penjaga gol England Joe Hart, serta pertahanan tengah mahal John Stones, beraksi di bawah tahap sebenar.

Sepuluh mata di belakang Chelsea, Guardiola sudah menyerah kalah apabila menyatakan City tidak mampu mencabar kejuaraan lagi selepas bencana di Goodison Park.

Spurs pula tidak berdepan banyak masalah sekalipun Jan Vertonghen mengalami kecederaan buku lali menentang West Brom Sabtu lalu sedikit mencacatkan rentetan kemenangan mereka akhir-akhir ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:49 AM