Sharifah Azlina mangsa keempat letupan peluru anti kereta kebal meninggal dunia pagi tadi.
Sharifah Azlina mangsa keempat letupan peluru anti kereta kebal meninggal dunia pagi tadi.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Mangsa letupan peluru anti kereta kebal di Taman Ria Mesra II, Gurun, Sharifah Azlina Hashim, 30, meninggal dunia di Hospital Sutan Abdul Halim (HSAH), di sini, pagi tadi.

Mangsa disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.23 pagi ketika menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jurucakap HSAH berkata, mangsa meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusoff ketika ditemui mengesahkan perkara berkenaan dan berkata, kematian terbaru itu menjadikan empat mangsa maut dalam kejadian berkenaan.

Katanya, pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya yang ditubuhkan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, suami Sharifah Azlina, Koperal Ayub Hashim, 37; anak perempuannya, Nur Hidayu Syahirah, 8, dan anak jirannya Mohd Akif Lokman Sharizal, 4, maut dalam kejadian letupan itu yang turut menyebabkan lebih 40 rumah rosak.

Sharifah Azlina dan seorang jirannya, Zuraida Mat Rotebe, 30, parah dan dihantar ke HSAH untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 1:26 PM