SERAMAI 23  pemenang menerima hadiah pada majlis meraikan pemenang   Peraduan #duitkatmana.
SERAMAI 23 pemenang menerima hadiah pada majlis meraikan pemenang Peraduan #duitkatmana.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad (Koperasi Ukhwah) merancang untuk meningkatkan penguasaan dan pegangan segmen hartanah kepada kira-kira 70 peratus di kawasan Medan Tuanku di ibu negara, berbanding hanya 50 peratus ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Razman Rahim berkata, Medan Tuanku adalah lokasi strategik yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur bagi menempatkan pengurusan dan pengendalian koperasi.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan menyediakan landskap baru kepada kawasan berkenaan yang berpotensi untuk menjadi Bandar Koperasi.

“Kami yakin perancangan memiliki pegangan 70 peratus hartanah di kawasan Medan Tuanku bakal memberikan impak positif kepada kedudukan Koperasi Ukhwah berikutan hartanah mempunyai nilai yang tinggi setiap tahun.

“Malah, prestasi Koperasi Ukhwah sentiasa berkembang sejak diasaskan pada 1998 dan bertambah maju dengan pelbagai produk seperti pembiayaan kredit, pajak gadai Ar-Rahnu, takaful korporat, restoran dan perlombongan kuari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah sempena Peraduan #duitkatmana yang disempurnakan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Dr Noor Zari Hamat di sini, kelmarin.

Peraduan yang berlangsung dari April hingga September lalu itu menyaksikan 23 pemenang termasuk tiga pemenang utama memenangi pakej umrah dan melancong ke Bali, Indonesia bersama 20 pemenang sagu hati.

Menurutnya, peraduan itu antara inisiatif bagi ‘meremajakan’ semula jenama Koperasi Ukhwah, di samping menarik golongan muda untuk menyertai koperasi.

Koperasi Ukhwah mempunyai kira-kira 55,000 ahli dan menyasarkan sehingga 70,000 menjelang hujung tahun ini dengan tiga program bagi meningkatkan lagi jenama Koperasi Ukhwah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 8:23 AM