Caj jalan raya dikutip bersama-sama bayaran lain sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
Caj jalan raya dikutip bersama-sama bayaran lain sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.
BERNAMA

Singapura: Semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak S$6.40 (RM20) setiap kali memasuki negara ini melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Februari 2017.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menyatakan, langkah itu sebagai timbal balas RRC terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta memasuki Johor mulai 1 November 2016.

RRC itu akan dikutip bersama-sama Permit Masuk Kenderaan (VEP), bayaran tol dan bayaran tetap Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebelum meninggalkan Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands.

Menurut LTA, papan tanda sudah dipasang untuk mengingatkan pemandu kenderaan supaya menjelaskan bayaran yang diperlukan dengan memasukkan Autopass Card atau CashCard mereka ke dalam alat pembaca kad di pondok imigresen.

LTA mengenakan penalti lebih berat terhadap pemandu kenderaan bermotor yang mengelak daripada menjelaskan bayaran tol dan caj berkenaan mulai 1 Ogos 2016.

Mereka yang melakukan kesalahan untuk kali pertama perlu membayar S$50 (RM156), manakala pesalah berulang dikenakan denda S$100 (RM312).

Pemandu yang tidak menjelaskan bayaran itu boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, didenda tidak lebih S$1,000 (RM3,123) atau penjara tidak lebih tiga bulan bagi pesalah kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 12:04 AM