FAIZ Subri memenangi Anugerah Puskas 2016. FOTO AP
FAIZ Subri memenangi Anugerah Puskas 2016. FOTO AP
Ahmad Salim Bachok

Gol ajaib hasil tendangan percuma pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, yang dilakukannya ketika pasukannya menentang Pahang pada malam 16 Februari tahun lalu menjadikan Faiz sebagai pemain bola sepak pertama dari rantau Asia memenangi Anugerah Puskas untuk 2016.

Anugerah Puskas yang mula diperkenal pada 2009 adalah anugerah bola sepak yang mengiktiraf jaringan paling cantik pada sepanjang tahun tertentu. Ia bagi menghormati kehebatan seorang pemain bola sepak Hungari, Ferenc Puskas, legenda yang turut pernah menjadi penyerang utama pasukan Real Madrid pada era 1950-an. Antara pemenang anugerah Puskas sejak ia diperkenalkan adalah Christiano Ronalda (2009), Neymar (2011) dan Zlatan Ibrahimovic (2013).

Anugerah berprestij itu diterima Faiz daripada bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldo, pada majlis Anugerah Fifa 2016 yang diadakan di kota Zurich, Switzerland, awal pagi Isnin lalu (waktu Malaysia). Sehingga hari ini, kejayaan di luar jangkaan anak Malaysia ini terus mendapat pujian dan penghargaan dari segenap rakyat negara ini.

Tahniah Faiz! Semoga anugerah bertaraf dunia ini dapat menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada dunia bola sepak negara yang seolah-olah sudah tidak bermaya sekarang. Sesungguhnya bola sepak Malaysia amat memerlukan suntikan semangat agar ia mampu kembali menjadi antara pasukan bola sepak yang digeruni sekurang-kurangnya di peringkat Asia, seperti pada era Mokhtar Dahari dahulu.

Pujian dan penghargaan tidak berbelah bagi rakyat negara ini yang diberikan kepada Faiz di atas kemenangan mutlaknya menjulang Anugerah Puskas juga membuktikan bahawa sukan, terutamanya bola sepak, mampu menjadi penyatu atau pengikat terbaik kepada semangat kebangsaan dan harmoni kepada rakyat negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini.

Kebelakangan ini, ruang akhbar dan media sosial penuh dengan pelbagai berita yang memberi pujian dan kata-kata perangsang terhadap pencapaian Faiz. Justeru apabila ada seorang penulis blog yang cuba berperlekeh dan melecehkan bahasa Inggeris yang digunakan Faiz ketika menerima anugerah berkenaan, begitu ramai pengomen di media sosial yang mempertahankan pemain bola sepak kelahiran Kedah itu, malah mengecam dan menghentam penulis blog berkenaan.

Bagi saya, ketidaklancaran atau kegugupan Faiz pada majlis di Zurich itu adalah wajar dan amat boleh diterima. Menerima anugerah di pentas yang terletak lebih 9,900 kilometer dari tanah air di depan gergasi dan legenda bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo, Sergio Ramos, Diego Maradona serta Sir Alex Furgeson, hati dan perasaan siapalah yang tidak akan berasa gemuruh dan gementar!

Apa pun, dalam isu ucapan Faiz itu, saya agak terkilan sedikit. Bagi saya, keadaan mungkin boleh menjadi lebih elok dan ‘manis’ sedikit jika pemenang anugerah Puskas kita ini dibimbing atau diberi tunjuk ajar serba sedikit oleh pihak berkaitan, dalam hal ini tentulah pegawai FAM yang menjadi pengiringnya tempoh hari.

Faiz seorang pemain bola sepak yang kemahirannya adalah menendang dan menggelecek bola di atas padang. Dia bukan seorang ahli politik yang bijak berbicara di atas pentas dan pastinya bukan guru bahasa Inggeris yang mahir bercakap dan memahami nahu serta istilah bahasa berkenaan. Maka dalam hal ini, pastinya Faiz amat memerlukan bantuan pada majlis yang bersejarah itu.

Bagaimanapun, bak kata orang tua-tua, perkara yang sudah berlaku biarlah berlalu. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dibuat sempadan. Cuma saya berasa terkilan apabila FAM menganggap kejayaan Faiz menjulang anugerah Puskas sebagai tanda aras kepada kehebatan bola sepak negara ini.

Dalam hal ini, saya setuju dengan pendapat Tunku Mahkota Johor yang mengatakan adalah tidak munasabah menyamakan kejayaan Faiz sebagai kejayaan bola sepak negara kita. Bagi saya, kejayaan Faiz adalah satu pencapaian individu dan tidak boleh disamakan langsung dengan pencapaian semasa pasukan bola sepak negara.

Adakah dengan kedudukan terkini di tangga 161 ranking dunia Fifa, maka FAM dengan tidak berasa malu menepuk dada mendakwa kejayaan Faiz adalah cerminan kegemilangan bola sepak negara? Pada ranking ini, bola sepak kita sebenarnya masih di belakang beberapa negara kecil yang tidak terkenal seperti Aruba (ranking 160), Maldives (154) dan Tahiti (148).

Lebih memalukan, kita sebenarnya jauh di belakang berbanding Lesotho (141), Palestin (131) dan Filipina (120). Ranking bola sepak kita mungkin hanya lebih baik berbanding Laos (167). Tetapi jika segala macam kemelut dan kecelaruan yang melanda industri bola sepak negara kita tidak diatasi segera, terutama krisis yang teruk di dalam kepemimpinan dan pentadbiran sukan paling ramai peminatnya ini, maka tidak mustahil kita akan terpaksa berebut dan bersaing dengan pasukan bola sepak Somalia atau Tonga untuk meraih ranking ke-205 dunia, iaitu ranking pasukan bola sepak paling corot di atas muka bumi ini.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 2:09 AM