Helmi (tengah) beraksi pada saingan musim lalu. FOTO ESPN
Helmi (tengah) beraksi pada saingan musim lalu. FOTO ESPN

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak Kuala Lumpur yakin dapat bersaing di kelompok teratas Liga Perdana musim ini dalam memburu kejuaraan liga itu.

Ketua pasukan Kuala Lumpur, Helmi Remeli berkata keserasian antara pemain baharu dan lama dilihat mampu merealisasikan impian berada di kelompok teratas untuk melayakkan mereka melonjak ke saingan Liga Super musim depan.

"Menerusi beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini keserasian ditunjukkan pemain menjadi kunci kekuatan kami," katanya selepas menghadiri majlis memperkenalkan skuad Liga Perdana Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Skuad 'City Boys' musim ini membariskan empat pemain import termasuk dua dari Argentina untuk memperkuatkan lagi skuad itu untuk bersaing dalam Liga Perdana musim ini.

Mereka adalah Madibo Konte dari Mali, pemain kelahiran Uzbekistan, Borbijon Akbarov dan dua pemain dari Argentina, Nicolas Dul dan Chamorro Chaki.

Untuk rekod, pasukan Kuala Lumpur menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu menduduki tangga kelima daripada 12 pasukan bersaing dan mengumpul 35 mata daripada 22 perlawanan.

Kuala Lumpur dijadual bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi pembukaan Liga Perdana musim ini di Stadium Selayang pada 20 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 3:43 PM