AFP

London: Paddy Lowe (gambar) melepaskan jawatan sebagai ketua teknikal pasukan juara dunia Mercedes di tengah-tengah kemuncak laporan media yang mengaitkannya kembali ke pasukan seteru Formula Satu, Williams.

Lowe, 54, dihormati kerana memainkan peranan utama terhadap penguasaan Mercedes dalam sukan permotoran sejak kebelakangan ini dengan membantu pasukan itu melakar gelaran hatrik, baik dalam kategori pengeluar mahupun pemandu.

Kontrak Lowe bersama Mercedes tamat Mei ini dan tempatnya dijangka digantikan oleh James Allison, pereka British yang meninggalkan Ferrari Ogos lalu.

“Saya menikmati tempoh tiga setengah tahun yang mengagumkan bersama Mercedes dan bekerja dengan pasukan yang dipenuhi orang hebat,” kata Lowe.

“Saya tidak sabar untuk menempuh cabaran baharu dan berharap setiap orang di Mercedes berjaya.”

Lowe, yang menyertai Mercedes pada 2013, dijangka memegang peranan penting di Williams selepas ketua pegawai teknikal Pat Symonds meninggalkan pasukan Britain itu tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:38 AM