BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membenarkan ganti rugi RM357,500 kepada seorang balu yang suaminya meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 2012, selepas memutuskan kematian itu disebabkan kecuaian polis.

Hakim Datuk S Nantha Balan turut memerintahkan semua defendan, termasuk ketua polis negara ketika itu, kerajaan Malaysia dan lima pegawai polis supaya membayar kos RM50,000 kepada balu berkenaan, N Selvi, 46, dan anak perempuannya, C Rita, 23.

Dalam penghakiman 86 muka surat, Hakim Nantha menegaskan defendan melanggar tanggungjawab penjagaan mereka terhadap si mati, P Chandran, 47, yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes penculikan seorang bayi yang baru dilahirkan.

Beliau berkata, kematian si mati disebabkan kecuaian defendan yang gagal menghantarnya ke hospital untuk rawatan dalam keadaan apabila adalah jelas tingkah laku tahanan agak ganjil dan defendan sudah pun dimaklumkan bahawa dia tidak sihat serta memerlukan rawatan perubatan.

"Saya berpendapat liabiliti bagi kecuaian (akibat kealpaan) dan salah laku awam sudah diwujudkan terhadap defendan," katanya.

Hakim Nantha berkata, sudah dibuktikan ketika perbicaraan tiada tindakan diambil terhadap sebarang pegawai polis berikutan kematian si mati.

Beliau membenarkan ganti rugi kepada kedua-dua plaintif - Selvi dan Rita - ganti rugi teladan RM200,000, kehilangan penanggung RM144,000 dan RM10,000 kerana kehilangan serta ganti rugi khas RM3,5000.

Pada September 2015, kedua-dua plaintif memfailkan saman terhadap tujuh defendan itu mendakwa kematian si mati disebabkan kecuaian defendan dan tindakan mereka menjurus kepada salah laku awam serta melanggari hak perlembagaan si mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 10:56 PM