Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Kubu Bharu: Kemeriahan Harian Metro (HM) Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1 Malaysia 2014 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Taman Millenium, semalam turut diserikan dengan kehadiran Geng Rovers Harian Metro (GRHM) yang gigih bersama menjalankan promosi dan jualan akhbar sambil beramah mesra dengan ribuan pengunjung.

Bermula jam 8 pagi, GRHM bergerak dari Balai Berita di Bangsar, Kuala Lumpur dan singgah di lokasi pertama di Pasar Bukit Sentosa, Rawang untuk mempromosikan aktiviti lasak dan berjumpa seramai mungkin pembaca setia akhbar HM.

Mereka melakukan aktiviti jualan dan menghabiskan 120 naskhah HM di sekitar pasar basah itu sambil mempromosi karnival sirkit berkenaan.

Selepas sejam berada di pasar terbabit, GRHM kemudian menuju ke tapak karnival dan sebaik tiba ia dipenuhi orang ramai yang sabar menantikan perlumbaan sirkit akhir itu tamat.

Beberapa gerai penaja dihadiri pengunjung menjadikan suasana di sekitar tapak karnival meriah dengan kehadiran ahli keluarga yang menyokong peserta perlumbaan.

Seperti dirancang, pelbagai aktiviti disediakan dengan menawarkan hadiah eksklusif daripada GRHM yang menarik perhatian pengunjung.

Suasana bertambah meriah kerana pengunjung berpusu-pusu menyertai permainan yang diadakan kerana ingin mendapatkan hadiah terhad GRHM yang mereka bawakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:12 AM