SEBAHAGIAN pesakit dari tingkat 7 HTAR   dibawa turun ke lobi hospital.
SEBAHAGIAN pesakit dari tingkat 7 HTAR dibawa turun ke lobi hospital.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Klang: Tindakan pantas pegawai bomba dan seorang pesara bomba yang kebetulan berada di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, pesara bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Klang, Yahya Othman, 56, sedang melawat cucunya yang dirawat di tingkat enam.

Pada masa sama, seorang pegawai dari BBP Subang Jaya, Hamdan Mansur turut berada di tingkat tujuh bangunan sama.

Yahya berkata, dia tidak menyangka berlaku kebakaran ketika lawatannya ke hospital itu.

“Beberapa individu tiba-tiba muncul cemas dan memaklumkan berlaku kebakaran di tingkat tujuh wad itu. Saya kemudian bergegas ke tingkat tujuh hospital itu.

“Apabila tiba di lokasi, api sudah dipadam oleh Hamdan yang kebetulan berada di lokasi kejadian. Dia memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam disediakan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, berbekalkan kemahiran ketika bertugas dengan jabatan itu, dia cuba mengawal situasi dengan mengalihkan pesakit selain meredakan situasi kelam- kabut ketika itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 6.39 petang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Andalas dan Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian di sebuah wad di tingkat tujuh.

“Kebakaran membabitkan suis saluran oksigen dan suis elektrik. Pihak bomba melakukan operasi pemadaman sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa cedera atau maut dalam kejadian itu dan tindakan pantas anggota serta pesara bomba itu membantu mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:03 AM