Musibah banjir yang melanda negara, terutama di negeri pantai timur dan beberapa negeri lain seperti Perak, mendapat perhatian ramai pihak, termasuk selebriti tempatan.

Ada yang mengumpul sumbangan secara besar-besaran, malah ada juga secara diam-diam tanpa publisiti media.

Antara terawal yang Cik Pang tahu, penyanyi dan komposer Dakmie turut berada di lokasi memberi bantuan sukarela kepada mangsa banjir.

Itu belum dikira lagi selebriti tempatan yang memulakan program mengutip sumbangan melalui acara yang dikelola sendiri.

Contohnya, pelakon popular Aaron Aziz mengajak peminat mengumpul barangan keperluan banjir di kedai miliknya, Kidz & Cream.

Pelakon Nadiah M Din yang semakin membina nama di Malaysia turut mengelolakan aktiviti sama di Singapura.

Apatah lagi saudara maranya turut terperangkap di kawasan paling teruk dilanda banjir di Kuala Krai, Kelantan.

Teman Cik Pang yang sempat berbual dengan Nadiah berkata, dia risau kerana ibu dan bapa saudaranya bersama dua anak mereka masih terperangkap di loteng rumah dua tingkat milik mereka di kawasan yang sukar dicapai bot penyelamat.

Sehingga kini, Nadiah akui keluarga mereka terputus hubungan kerana telefon bimbit kehabisan bateri dan tidak pasti adakah keluarga itu diselamatkan pihak penyelamat atau belum.

Mengalir air mata Cik Pang mendengar rintihan Nadiah yang risaukan keselamatan keluarga saudaranya di sana.

Kepada semua pihak, Cik Pang minta ketepikan soal perbezaan politik, bangsa dan agama demi menyelamatkan mangsa banjir.

Cik Pang galakkan selebriti gunakan ruang yang ada untuk membantu dan menjadi sukarelawan dalam keadaan yang genting kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:05 AM