Memanglah sebelum ini Datuk Rossa pernah memberikan penjelasan dia dan pasangan duetnya, Afgan tidak bercinta. Tegas Rossa, mana mungkin dia dan Afgan bercinta disebabkan jarak usia dan menganggap penyanyi muda itu seperti adiknya.

Masalahnya, baru-baru ini satu nusantara melihat kemesraan mereka di majlis Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di Singapura. Tidak nampak pula seperti kakak dan adik.

Lebih daripada itu, baru-baru ini ada satu gambar yang dimuat naik Rossa membabitkan Afgan bersama anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan.

Cik Pang tertarik dengan gambar dimuat naik itu kerana memperlihatkan kemesraan Afgan dan Rizky. Anak tunggal Rossa itu dilihat begitu manja dengan Afgan apabila rakan baik ibunya itu membelai kepalanya.

Tidak dinafikan, gambar itu menyentuh hati Cik Pang. Pandai Afgan melayan budak-budak. Melihat caranya itu membuatkan pandangan mengatakan Afgan dan Rossa bercinta semakin menebal.

Kemungkinan gambar itu boleh menggambarkan usaha Afgan membeli jiwa Rizky selepas berjaya menawan hati ibunya.

Tapi tak tahulah Cik Pang sejauh mana tanggapan dibuat itu benar. Mungkin benar kata Rossa sebelum ini dia sememangnya menganggap Afgan seperti adik dan penyanyi yang popular dengan lagu Jodoh Pasti Bertemu itu menganggap anak tunggal Rossa seperti anak saudaranya.

Bagi Cik Pang pula, kalau mereka bercinta pun apa salahnya. Usia bukan penghalang dan sebelum ini ramai juga selebriti yang Cik Pang kenal berbeza usia bernikah tetap bahagia. Contoh terbaik Zain Saidin dan Che Ta. Begitupun, Cik Pang tak naklah memandai-mandai menjodohkan orang, cuma untuk Rossa dan Afgan kita doakan yang baik-baik untuk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:03 AM