GAMBAR bayi lelaki kedua Tomok, Andrashah Iman.
GAMBAR bayi lelaki kedua Tomok, Andrashah Iman.
Oleh Georgie Joseph


Jumaat lalu, penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 30, menyambut kelahiran anak keduanya yang juga seorang bayi lelaki yang diberi nama Andrashah Iman. Bayi itu dilahirkan pada jam 1.34 tengah hari.

Ternyata rumah tangga penyanyi itu semakin berseri selepas kelahiran itu. Terdahulu, hasil perkahwinannya dengan Rahayu Abas, pasangan itu dikurniakan anak sulung lelaki, Arrian Shah Akid.

Dengan kehadiran anak kedua itu, Tomok yang dihubungi baru-baru ini mengakui tanggungjawabnya akan semakin bertambah, namun dia bersyukur kerana kelahiran itu berjalan lancar.

“Syukur sangat proses melahirkan kali ini lebih senang dan mudah berbanding kelahiran Arrian. Keterujaan saya menyambut kelahiran Andrashah masih sama seperti menerima kehadiran Arrian.

“Pun begitu apa yang paling penting, ibu dan anak selamat,” katanya.

Menurutnya, sebelum Andrashah dilahirkan dia tidak senang duduk bahkan terpaksa menolak banyak tawaran persembahan kerana dia mahu berada di samping isteri terutama hampir detik untuk melahirkan.

“Saya terpaksa kurangkan kesibukan untuk memberi perhatian kepada isteri. Memang berdebar sangat sepanjang tempoh itu,” katanya.

Sekarang semuanya sudah selamat, Tomok akan kembali aktif dengan kerjaya seninya apatah lagi kini tanggungjawabnya semakin bertambah.

“Saya tiada perancangan untuk berehat atau memperlahankan kerjaya seni. Saya kena bekerja keras untuk memastikan segala keperluan keluarga mencukupi,” katanya.

Tomok dan isterinya berkahwin pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 10:58 AM