Lokasi kejadian  wanita nyaris lemas selepas terjatuh dari bot pisang. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Lokasi kejadian wanita nyaris lemas selepas terjatuh dari bot pisang. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang wanita nyaris lemas selepas terjatuh dari bot pisang dinaikinya di Pantai Batu 8, Teluk Kemang di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Ratnasari Jajuli, 53, menaiki bot berkenaan bersama beberapa rakan dan dipercayai terjatuh ketika pemandu menarik bot berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang Sabarudin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.36 petang sebelum sebuah jentera bersama lima anggota ke lokasi.

"Mangsa dipercayai tenggelam selepas terjatuh dari bot pisang. Mangsa bagaimanapun diselamatkan orang awam dan pasukan penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berada di lokasi.

"Mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh anggota APM. Beberapa minit kemudian, mangsa sedar semula dan dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 7:59 PM