PENERIMA Pingat Jasa Malaysia (PJM) Ramli Mat Arip, 71, beramah mesra bersama empat penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (JPJN) yang lain selepas Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Melaka 2017 di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Nur Ain Musdad
PENERIMA Pingat Jasa Malaysia (PJM) Ramli Mat Arip, 71, beramah mesra bersama empat penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (JPJN) yang lain selepas Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Melaka 2017 di Seri Negeri, Ayer Keroh. FOTO Nur Ain Musdad
Nur Ain Musdad


BIARPUN sudah lebih 30 tahun, detik cemas semasa bertempur dengan komunis di Gubir, Kedah masih segar dalam ingatan pesara tentera, Ramli Mat Arip, 71, yang kini menetap di Felda Tun Ghafar, Kemendor, Jasin.

Ramli berkata, dia bangga dipilih untuk terbabit sama dalam operasi itu kerana Gubir adalah salah satu daerah yang menjadi markas utama pengganas komunis di Utara Semenanjung Malaysia semasa darurat.

Katanya, orang muda pada masa dahulu juga memilih kerjaya sebagai anggota tentera kerana mahu membantu menghapuskan pengganas komunis walaupun tahu bahaya dan risiko bakal ditanggung mereka.

"Dulu kami, rela hati menawarkan diri menyertai pasukan keselamatan memandangkan pada ketika itu negara memang memerlukan sokongan dan bantuan rakyat dalam menghapuskan pengganas komunis.

"Sekarang ini kalau masuk hutan memang tak jumpa lagi pengganas komunis, tetapi ancaman itu sentiasa ada, contoh insiden berdarah pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Melaka 2017 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis itu Ramli bersama sembilan lagi pesara lain dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) oleh Mohd Khalil, manakala 10 lagi yang lain dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (JPJN).

Menceritakan mengenai pengalamannya ketika bertugas di Gubir, Ramli berkata, dia bersyukur kerana dipanjangkan usia supaya dapat berkongsi detik cemas agar menjadi panduan kepada orang muda.

"Hutan tebal menyukarkan usaha menjejak pengganas, hujan lebat menyulitkan lagi operasi hingga tidak sedar pergerakan kami ketika itu sebenarnya sedang diperhatikan oleh beberapa pengganas yang kemudian melakukan serang hendap.

"Saya nyaris terkena tembakan kerana berada di depan, tetapi kecekapan rakan menyelamatkan nyawa saya, kami bertempur selama 20 minit sebelum pengganas melarikan diri," katanya.

Sementara itu Idris berkata, dijangkakan lebih RM152,000 akan berjaya dikumpul pada tahun ini menerusi Kempen Tabung Pahlawan Peringkat Negeri Melaka yang akan digunakan untuk menjaga kebajikan pesara tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 6:00 PM