ADIK mangsa kelihatan sedih melihat mayat Tonny Tosin @ Ahmad Abdul Hamid yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Telok Mas - Umbai. FOTO Zuhairi Zuber
ADIK mangsa kelihatan sedih melihat mayat Tonny Tosin @ Ahmad Abdul Hamid yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Telok Mas - Umbai. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi

my

Melaka: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan masing-masing dua buah kereta dan sebuah bas henti-henti di Jalan Telok Mas-Umbai, di sini, tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa Tonny Tosin@ Ahmad Abdul Hamid, 45, yang memandu Proton Saga dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah agama di Telok Emas.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa dilanggar dari arah belakang oleh Proton Waja dipandu lelaki berusia 28 tahun ketika berhenti untuk masuk ke simpang.

"Susulan itu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan bas dari arah bertentangan yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum melanggar tembok di tepi jalan.

"Mangsa yang tersepit ditempat duduk pemandu kemudian dibawa keluar oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala dua penumpang bas yang tercedera turut dibawa ke hospital sama untuk dirawat selain kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 3:39 PM