Hefny akan kelola program baru tahun hadapan. FOTO HM
Hefny akan kelola program baru tahun hadapan. FOTO HM
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Pengacara Hefny Sahad akan meninggalkan Pop TV kerana akan mengendalikan program lain awal tahun depan.

Hefny ketika dihubungi berkata, dia terpaksa meninggalkan Pop TV yang dikelolakannya sejak April lalu itu berikutan program yang bakal dikendalikannya itu sudah lama diidamkan.

Malah, dia menegaskan tidak ada masalah dengan produksi apabila kontraknya tidak disambung.

"Program yang bakal saya acarakan nanti akan bersiaran di stesen TV yang sama.

"Bohonglah kalau saya kata tak sedih kerana selama berada di Pop TV saya selalu diberi peluang mengacara karpet merah dalam mana-mana acara anugerah anjuran Media Prima. Malah, karpet merah Anugerah Skrin 2016 pecah rekod apabila mendapat tontonan tertinggi.

"Pastinya ia kenangan manis yang tak mungkin saya lupakan. Apapun saya percaya keputusan ini adalah yang terbaik demi kelangsungan karier,” katanya.

Hefny berkata, program yang bakal dikelolakannya nanti sudah berpuluh tahun membina nama dalam industri seni.

"Tidak hanya saya, sesiapa sahaja yang ditawarkan mengendalikan program ini pasti tidak akan menolak.

"Buat masa ini saya belum boleh bercerita lanjut mengenai program ini. Insya-Allah satu sidang media akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 7:08 PM