Hefny dan Uqasha sudah membawa haluan masing masing sejak awal tahun ini. FOTO AZIAH AZMEE
Hefny dan Uqasha sudah membawa haluan masing masing sejak awal tahun ini. FOTO AZIAH AZMEE
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA dan Uqasha sudah bawa haluan masing-masing sejak awal tahun ini. Jadi, saya tidak tahu menahu mengenai kes membabitkan dirinya,” kata pengacara, Hefny Sahad berhubung penahanan bekas kekasihnya itu yang disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 pil Eramin 5, kelmarin.

Hefny atau Mohamed Hefny Sahad, 31, dihubungi berkata, dia tidak mahu masuk campur soal peribadi pelakon itu kerana enggan disalah anggap.

Malah, Hefny menyeru orang ramai yang tidak tahu cerita sebenar agar berdiam diri daripada terus mengeruhkan keadaan.

“Saya dapat tahu perkara ini semalam selepas dihujani pertanyaan menerusi WhatsApp, komen dan direct message (DM) di laman Instagram.

“Sejujurnya, saya pun terkejut. Memandangkan kami sudah tidak berkomunikasi sejak putus tempoh hari, jadi memang tidak ambil tahu langsung.

“Mengenai apa terjadi terhadap dirinya, saya tidak mahu komen apa-apa. Sebab saya memang tidak tahu menahu. Cuma, apa boleh dikatakan, bagi yang tidak tahu menahu lebih baik diam,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai hubungan yang berakhir dengan Uqasha, Hefny yang juga pengacara program Borak Kopitiam di TV3 menganggap antara mereka tidak ada jodoh.

“Hubungan kami berlangsung lebih kurang setahun. Kami putus bukan sebab orang ketiga. Biarlah ia menjadi rahsia peribadi saya.

“Meskipun pernah merancang untuk ke fasa lebih serius tetapi ini aturan dan ketentuan Allah. Jodoh itu rahsia Allah,” katanya.

Pun begitu, Hefny menjelaskan dia tidak pernah bermusuh dengan Uqasha atau keluarga bekas kekasihnya itu.

“Saya masih baik dengan keluarganya. Saya okey saja. Dengan adik beradiknya yang lain pun saya rapat.

“Macam sekarang saya terbabit dengan penggambaran drama bersama adiknya, Raysha Rizrose. Tidak timbul sebarang masalah pun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 2:21 PM