MENGAPA anak saya takut dengan orang lain?
MENGAPA anak saya takut dengan orang lain?
USIA dua tahun pertama tempoh kritikal bagi pembentukan hubungan antara bayi dengan ibu bapa.
USIA dua tahun pertama tempoh kritikal bagi pembentukan hubungan antara bayi dengan ibu bapa.
Siti Nadirah Hafidzin

Mengapa anak saya tidak mahu dengan orang lain? Mengapa dia menangis apabila bersama orang lain? Itu persoalan sering membelenggu setiap ibu bapa yang memiliki anak berusia lingkungan dua tahun.

Usia dua tahun pertama ialah tempoh kritikal bagi pembentukan hubungan antara bayi dengan ibu bapa. Pembentukan hubungan adalah satu perjalanan yang indah bagi setiap bayi, malah setiap ibu bapa juga sama-sama berasakannya.

Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, setiap ibu bapa dapat memerhatikan tingkah laku anak yang berubah-ubah dari semasa ke semasa.

Ia terjadi disebabkan empat fasa dalam proses berkenaan iaitu:

Fasa pertama antara sifar hingga dua bulan

Dalam tempoh ini, bayi lebih banyak diam dan kelihatan menyendiri dalam dunianya sendiri. Namun, bayi akan memberikan tindak balas kepada sesiapa saja yang datang kepada mereka. Mereka tidak menunjukkan rasa suka atau takut kepada sesiapa yang datang.

Fasa kedua antara dua hingga enam bulan

Selepas beberapa bulan, bayi mula mengenal siapa yang banyak meluangkan masa bersama mereka. Bayi akan memberikan tindak balas yang lebih baik kepada sesiapa yang membuatkan mereka gembira dan ceria. Mereka ketika ini mula mengenal ‘ibu’, ‘ayah’ dan ahli keluarga yang berada di dalam rumah mereka.

Fasa antara enam hingga 24 bulan

Bermula usia sekitar enam bulan, bayi bersikap lebih memilih. Mereka tidak mahu kepada orang lain. Jika cuba diambil, mereka menangis atau melarikan diri.

Fasa keempat pada usia 24 bulan ke atas

Dalam keadaan sudah berasa selamat dengan ahli keluarga yang menyayangi mereka, kanak-kanak mula memahami konsep perkongsian iaitu mereka sebenarnya berkongsi kepentingan dengan ahli keluarga lain.

Bukan saja mereka lapar, abang juga lapar. Apabila mereka mahukan sesuatu, mereka boleh ‘lihat orang lain juga’ dan mempertimbangkan semula apa yang dikehendaki itu.

Menurut Nur Firdaus, berdasarkan fasa ini, bayi lazimnya dilihat ‘tidak mahu bersama orang lain’ bermula usia sekitar enam bulan.

“Mereka bukanlah berubah menjadi sombong atau tidak mahukan orang seperti kebanyakan kita sangkakan tetapi apa yang berlaku, mereka sudah menemui apa mereka cari selama ini iaitu kepercayaan.

“Ini bermaksud percaya dengan sepenuh hati penjaga (orang yang paling setia meluangkan masa memenuhi keperluan) ialah tempat selamat bagi mereka,” katanya.

Nur Firdaus berkata, selama enam bulan bayi memerhati individu yang datang dan pergi serta mendapati adanya individu tertentu yang mempunyai kaitan emosi dengannya.

“Dalam tempoh itu, bayi juga menemui keadaan yang membuatkan mereka rasa tidak selamat, menakutkan dan menyedihkan.

“Sebagai contoh, ada orang memarahi, menjentik mereka, merampas apa yang dipegang, tidak melayan permintaan dan yang berkaitan,” ujarnya.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan si kecil meletakkan kepercayaan terhadap orang tertentu selain sudah mula membezakan setiap individu yang menghampirinya.

“Disebabkan itu juga bayi dan kanak-kanak menangis, lari atau menunjukkan tindak balas kurang senang apabila didekati orang tidak dikenali. Layanan seperti ini juga diberikan kepada orang yang kurang mesra dengan mereka sebelum ini,” katanya.

Katanya, memang ada sebahagian bayi dan kanak-kanak yang nampak seperti tidak kisah apabila didekati individu tidak dikenali namun ia berkaitan faktor lain.

“Tetapi setiap ibu bapa dinasihati tidak terlalu risau kerana fenomena anak kecil takut orang ini normal dan kebiasaannya ia bermula sekitar usia enam bulan,” katanya.

Bagaimana menghadapinya?

Menurut Nur Firdaus, mahu atau tidak setiap ibu bapa perlu menghadapinya. Ia akan berlaku sebagai salah satu proses normal dalam perkembangan sosial anak.

“Ia satu fitrah yang akan memastikan hanya kitalah (ibu bapa dan penjaga) yang akan menjadi contoh utama mereka. Ia juga membantu dari sudut keselamatan apabila anak kecil tidak mudah hilang atau dihilangkan.

“Ibu bapa juga boleh berusaha menjadikan perkara ini satu keadaan yang stabil dan tidak keterlaluan,” katanya.

Antaranya dengan cara berikut:

1. Layani bayi dengan penuh kemesraan setiap masa. Ia penting untuk mereka percaya dan yakin persekitaran mereka selamat. Penting untuk memangkin kematangan sosial kerana jika tidak, mereka lambat bergaul dan ia mendatangkan cabaran lain pada masa akan datang.

2. Tidak terlalu mengasingkan bayi daripada orang di sekeliling. Semestinya kita perlu sentiasa jauhkan mereka dari orang yang boleh merosakkan, tetapi pada masa sama bawa juga mereka berjumpa dan bergaul dengan orang yang baik dan boleh dipercayai. Jangan hanya terperap di rumah kerana ia mewujudkan persekitaran kejiranan yang kurang baik. Keluarlah sekali-sekala menziarahi atau beramah mesra dengan individu yang baik kerana bayi juga perlu bersosial.

3. Sesekali bawa anak ke surau dan masjid. Apabila ramai orang dewasa yang menegur dan mengusik, lama-kelamaan mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu dan mengurangkan rasa takut kepada individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 5:42 AM