SALAM Musik.
SALAM Musik.
GERHANA Aka Cinta.
GERHANA Aka Cinta.
REPUBLIC of Brickfields.
REPUBLIC of Brickfields.
Ridzuan Abdul Rahman


Persembahan mantap dan menghiburkan. Itulah yang dapat digambarkan apabila menyaksikan Festival Skankin 2016 yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu.

Kerugian besar bagi peminat fanatik muzik ska dan reggae jika terlepas menyaksikan konsert julung kali diadakan dengan menghimpunkan 12 kumpulan yang memperjuangkan dua genre itu.

Konsert sulung anjuran Cartel Production ini cuba lari daripada kebiasaan apabila mengasingkan dua muzik itu berbanding konsert lain yang pernah diadakan sebelum ini.

Ramai penonton puas menyaksikan persembahan Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfields, Plague of Happiness dan Sharpshooter.

Turut beraksi Skudap Skudip, Wakakukz, Johny Comes Lately, Rosewood, Mbex Firdaus and The Souljah dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Rata-rata penonton adalah peminat tegar yang mengikuti kembara seni 12 kumpulan itu.

Masing-masing mempunyai cita rasa sendiri dan semestinya mereka memuja karya seni yang dihasilkan serta kemampuan pemuzik kesukaan mereka.

Festival Skankin 2016 dibahagikan kepada dua sesi. Persembahan pada sebelah petang menampilkan kumpulan Mbex Firdaus & The Soujah, Budak Nakal Hujung Simpang, Rosewood, Sharpshooter, Skudap Skudip dan Johny Comes Lately.

Bagaimanapun, impak konsert ini lebih dirasai pada sebelah malam yang menampilkan nama besar iaitu Wakakukz, Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfields dan Plague of Happiness.

Keghairahan peminat menyaksikan konsert itu terbukti apabila mereka sanggup meredah kesesakan lalu lintas yang teruk memandangkan ia berlangsung pada malam sambutan perayaan Hari Krismas.

Bagaimanapun, ia dianggap berbaloi kerana mereka disajikan persembahan menarik dan penuh bertenaga.

Lebih daripada itu memandangkan lokasi yang luas, peminat dapat menggoyangkan badan menari mengikut alunan lagu ska dan reggae dimainkan setiap kumpulan.

Tidak perlu membandingkan persembahan setiap kumpulan kerana masing-masing ada keistimewaan tersendiri.

Wakakukz tampil dengan lima lagu antaranya Semua Tak Betul dan Tak Peduli, Pure Vibracion pula tampil dengan lapan lagu seperti Gimme Love, Souljah Boi dan Pesan manakala Salam Musik pula menyampaikan sembilan lagu antaranya Bangkit, Aku Pelat dan Berkah.

Republic of Brickfields yang diterajui Aru pula tampil dengan enam lagu termasuklah Politikus, Matahari, Ganjaran dan Emansipasi.

Empat kumpulan ini menggamatkan suasana di dalam KL Live. Bagaimanapun peminat menantikan pula persembahan Gerhana Ska Cinta.

Mereka akhirnya bersorak keriangan apabila kumpulan ini tampil di atas pentas dan menyampaikan enam lagu iaitu Little Bit of Calypso, Sweet Melody/ Mimpi (medley), There’ll Always Be Sunshine/ Is There Any Soul (medley), Perusak Chenta, Senyuman Ragamu dan Sayang/ Love (medley) yang turut menampilkan Salam.

Kumpulan Plague of Happiness menjadi artis penutup tirai konsert memberikan persembahan maksimum menerusi 10 lagu iaitu Antidote, Kawan, Matahari, Ain’t No Sunshine/ Dosa/ Sorrow (medley), Februari, Malam, Rebel Youth I Wanna Riot, Konspirasi dan Viva Lapang sekali gus meninggalkan kenangan bermakna buat semua yang hadir.

Wakil penganjur, Amir Hakim berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan terhadap Festival Skankin 2016.

“Ini penganjuran sulung dan kami sangat gembira dengan sambutan peminat.

“Apatah lagi ini kali pertama konsert ska dan reggae meletakkan harga tiket RM110, agak tinggi setaraf konsert genre muzik lain.

“Kami pilih mengadakan konsert di sini bagi memperkenalkan motif Cartel Production yang sebenar. Ini langkah pertama yang baik.

“Promosi yang dibuat juga agak singkat, hanya dalam tempoh sebulan. Selepas ini kami akan memperbaiki segala kekurangan,” katanya.

Menurutnya, usaha mereka tidak akan terhenti kerana selepas ini akan mengadakan sesi jelajah Festival Skankin di lokasi lain.

“Seperti yang dirancang sebelum ini, kami akan kembangkan Festival Skankin di seluruh negara.

“Sekiranya ada rezeki kami juga akan ke Singapura dan Indonesia. Ini adalah permulaan bagi langkah seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 10:02 AM