Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk membeli sebahagian ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), antara syarikat perladangan terbesar di Indonesia.

Menerusi SPA berkenaan, FICP membeli ekuiti sebanyak 37 peratus dalam EHP yang disenaraikan di Bursa Saham Jakarta. Pembelian bernilai AS$505.4 juta (RM2.26 bilion) itu membolehkan FELDA memperoleh akses kepada tanah perladangan seluas lebih 320,000 hektar di Indonesia (kira-kira 4.4 kali keluasan Singapura) termasuk lebih 125,000 hektar yang ditanam pokok sawit.

Butir lanjut mengenai pembelian itu belum dapat diumumkan buat masa ini berikutan SPA terbabit tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Indonesia.

FELDA dalam kenyataannya semalam berkata, keputusan membeli ekuiti itu selari dengan matlamat jangka panjangnya untuk menjadi antara kumpulan minyak sawit terbesar dunia.

“Kami harus terus berkembang kerana dengan berada di takuk sama bermakna FELDA akan ketinggalan memandangkan pesaing kami berkembang pantas dalam industri yang sentiasa berkembang ini.

“Bagi menjana pertumbuhan ini, FELDA perlu meneroka kawasan baru di luar negara berikutan tanah perladangan di Malaysia semakin terhad,” katanya.

Selain akses kepada kawasan ladang, pembelian EHP itu membuka peluang FELDA dan syarikat bersekutunya mengembangkan perniagaan di pasaran domestik Indonesia yang besar dan pesat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:10 AM