PESAWAT Beechcraft King Air 200T yang terhempas ketika mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth. FOTO ihsan pembaca
PESAWAT Beechcraft King Air 200T yang terhempas ketika mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth. FOTO ihsan pembaca
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keluarga seorang daripada kru pesawat Beechcraft B200T yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, petang tadi, Sarjan Mohd Sofi Azizan, bersyukur beliau terselamat dalam nahas itu.

Abang ipar Mohd Sofi, Kamal Ariffin Mohd Hassan, 44, berkata, beliau mendapat maklumat yang adik iparnya terlibat dalam nahas itu melalui laman sosial dan laporan berita.

"Saya tidak sangka dia (Mohd Sofi) salah seorang kru yang berada dalam pesawat itu. Kami sekeluarga terkejut, namun, kami bersyukur apabila dimaklumkan dia hanya cedera dan keadaannya stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, isteri Mohd Sofi, Ainul Maziayana Mohd Hassan, 27, kini dalam perjalanan ke Pulau Pinang, lokasi suaminya itu dirawat.

"Adik saya masih dalam pantang selepas melahirkan anak ketiga mereka beberapa hari lalu, harapnya segala urusan dipermudahkan," katanya.

Insiden 5.18 petang itu menyebabkan juruterbangnya maut, manakala tiga lagi termasuk Mohd Sofi, cedera. Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk menyiasat punca nahas terbabit. Beliau berkata, TUDM telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 12:45 AM