Wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan terikat dipercayai dibunuh di rumah di Kampung Kuala Gris, Dabong Kuala Krai. FOTO ihsan PDRM
Wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan terikat dipercayai dibunuh di rumah di Kampung Kuala Gris, Dabong Kuala Krai. FOTO ihsan PDRM
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan mulut, kaki dan tangan diikat dengan kain dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris, Dabong Kuala Krai.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu Rohani Musa, 60, ditemui oleh anak lelakinya berusia 35 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, sebelum kejadian anak mangsa dikatakan keluar dari rumah untuk menonton perlawanan bola sepak di kedai berhampiran pada 12.30 tengah malam.

Katanya, anak mangsa yang pulang ke rumah sejam kemudian mendapati pintu di bahagian dapur terbuka.

"Dia kemudian menemui ibunya terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan terikat di bahagian ruang tamu.

"Anak mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada jiran sebelum memaklumkan kepada polis," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pagi tadi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal jenis Yamaha RXZ di ruang tamu, barang kemas dan dompet mangsa turut hilang.

"Jiran mangsa yang ditemui memaklumkan ada ternampak dua lelaki menunggang motosikal dilihat berada berhampiran rumah mangsa sebelum kejadian.

"Setakat ini kita masih menunggu laporan bedah siasat untuk menentukan sama ada mangsa dibunuh atau diklasifikasikan mati mengejut, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 11:24 AM