ANIZAM (kiri) beramah mesra bersama pengayuh beca sempena program Sehari Bersama Penarik Beca. FOTO Faris Zainuldin
ANIZAM (kiri) beramah mesra bersama pengayuh beca sempena program Sehari Bersama Penarik Beca. FOTO Faris Zainuldin
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Kerajaan negeri bercadang menyediakan skim perlindungan insurans untuk semua pengayuh beca yang masih aktif di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, pihaknya ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans untuk tawaran skim yang bersesuaian.

"Ini sebahagian usaha kerajaan negeri untuk melindungi mereka yang masih aktif meneruskan perkhidmatan terutama di sekitar bandar.

"Namun skim bersesuaian perlu dikenal pasti memandangkan rata-rata pengayuh beca berusia 55 ke 84 tahun," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sehari Bersama Pengayuh Beca di Gelanggang Seni, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Md Anizam turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan asas kepada 28 pengayuh beca.

Dalam usaha membantu golongan itu menjana pendapatan, katanya, mereka akan berbincang dengan pengusaha hotel untuk pakej perkhidmatan yang membabitkan pengayuh beca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 1:06 PM