Datuk Lee Chee Kiang, 45, suspek utama kes bunuh Bill Kayong dikawal ketat oleh anggota polis ketika tiba di Lapangan Terbang Miri jam 10.45 pagi tadi selepas berjaya ditahan di China. FOTO Kandau Sidi
Datuk Lee Chee Kiang, 45, suspek utama kes bunuh Bill Kayong dikawal ketat oleh anggota polis ketika tiba di Lapangan Terbang Miri jam 10.45 pagi tadi selepas berjaya ditahan di China. FOTO Kandau Sidi
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Suspek utama pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Datuk Lee Chee Kiang, 45, ataupun lebih dikenali sebagai Datuk Stephen Lee dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama kerana bersubahat bersama Lie Chang Loon,37, Chin Wui Chung,50, dalam kejadian itu.

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan majistret Zuraini Ali Musa manakala Timbalan Pendakwa Raya diwakili Noor Fadzila Ishak, bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan tertuduh direkodkan.

Majistret kemudiannya menetapkan 30 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Miri.

Tertuduh diperintahkan ditahan di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh sebutan semula.

Tertuduh ditahan oleh Kementerian Keselamatan Awam China di Putian Provinsi Fujian semalam selepas lebih lima bulan melarikan diri selepas kejadian pada 21 Jun lalu.

Bill Kayong ataupun nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah mati ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart pada pagi 21 Jun lalu.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan di leher menggunakan senapang patah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 4:20 PM