Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Polis Kontinjen Sarawak mengesahkan dalang utama kes pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Suspek berkenaan, ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 45 tahun ditahan pada 7.45 malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek ditahan Kementerian Keselamatan Awam China di Putian, wilayah Fujian, semalam, sebelum diusir ke Malaysia dari Xiamen.

Menurutnya, suspek diiring pulang ke Malaysia oleh pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar.

"Suspek akan dibawa ke Miri dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Miri, pagi esok, untuk dituduh bagi kes pembunuhan Bill Kayong," katanya.

Pada 23 Jun, dua hari selepas Bill dibunuh, suspek itu berlepas ke Singapura sebelum ke Australia pada 3 Julai lalu.

Waran tangkap terhadapnya bersama dua lagi suspek dikeluarkan pada 19 Julai lalu.

Bill Kayong atau nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart, Miri, pada pagi 21 Jun lalu. Setakat ini, seorang lagi suspek iaitu pengusaha pusat karaoke berusia 35 tahun, masih bebas.

Kejayaan Polis Sarawak turut mendapat pujian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman status Twitternya sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 10:17 PM