Keadaan cuaca di Rantau Panjang, hari ini. FOTO Nik Abdullah
Keadaan cuaca di Rantau Panjang, hari ini. FOTO Nik Abdullah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Selangor menurun pagi ini, manakala di Terengganu dan Perak, kekal.

Di KELANTAN, jumlahnya turut kepada 5,087 orang daripada 1,592 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 5,164 orang daripada 1,621 keluarga direkodkan malam tadi, dan mereka ditempatkan di 14 PPS di jajahan Pasir Mas.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM, jumlah mangsa banjir menurun kepada 14 orang daripada lima keluarga pagi ini berbanding 15 orang daripada lima keluarga malam semalam, yang ditempatkan di PPS SK Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Selangor yang mula dibuka sejak semalam.

Laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan setakat 8.30 pagi ini, aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melebihi tahap waspada dengan bacaan 3.3 meter (m), tetapi dalam keadaan trend menurun.

Jumlah mangsa di TERENGGANU pula kekal dengan 158 mangsa daripada 16 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di tiga daerah iaitu Dungun, Setiu dan Marang.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan kekal 65 orang daripada 18 keluarga setakat 8 pagi ini, sama seperti malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak memaklumkan kawasan terjejas banjir kekal membabitkan daerah Hilir Perak.

Sekretariat itu turut memaklumkan paras air di Sungai Bidor, Changkat Jong mencatatkan bacaan bahaya 3.72 m ketika ini dengan cuaca di daerah Hilir Perak diramalkan hujan pada petang dan malam nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 10:23 AM