Kuala Terengganu: Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila mengorbankan remaja perempuan selain seramai 3,863 orang dipindahkan ke 36 pusat pemindahan di beberapa daerah di negeri ini.

Pelajar tingkatan satu itu ditemui lemas dalam telaga di belakang rumah datuknya di Kampung Jelapang, Bandar Permaisuri di Setiu petang semalam menjadikan korban pertama mangsa banjir di negeri ini.

Menurut portal e-Tindakan Bencana Terengganu, Dungun menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan 16 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah itu.

Di Setiu, banjir menyebabkan 280 mangsa dari 63 keluarga ditempatkan di 14 lokasi pusat penempatan banjir.

Di Besut, 215 mangsa dari 57 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Kampung Beris Pak Abu dan Surau Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang.

Beberapa sungai utama di seluruh Terengganu juga berada pada paras membimbangkan ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.

Di KOTA BHARU, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya dan terus meningkat pada 1 tengah hari.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 9.07 meter melepasi paras bahaya 9 meter.

Bagaimanapun, sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup berikutan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 9:46 PM