TIGA lelaki (dari kiri) A. Govalsamy, R. Paramesh dan S.Kalidas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Teluk Intan. FOTO Ravale Savarinathan
TIGA lelaki (dari kiri) A. Govalsamy, R. Paramesh dan S.Kalidas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Teluk Intan. FOTO Ravale Savarinathan
Mohd Hafizee Mohd Arop


Teluk Intan: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah rumah di Hutan Melintang, November lalu.

Tertuduh, R Paramesh, 24; S Kalidas, 29, dan A Govalsamy, 51, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Ketiga-tiga mereka didakwa bersama dua orang lagi yang masih bebas membunuh D Ruban di dalam sebuah rumah di No 98, Taman Sri Bernam, Hutan Melintang.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 5.30 petang hingga 8 malam pada 26 November lalu dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Intan Nurul Farena kemudiannya menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Asyraf Abdul Rasid, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 12:32 PM