MOKHTAR  (tengah) pada sidang media FAS   di Kelana Jaya semalam.
MOKHTAR (tengah) pada sidang media FAS di Kelana Jaya semalam.
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Juara Piala Malaysia 33 kali Selangor mungkin berdepan situasi paling memalukan dalam sejarah penubuhan mereka apabila terpaksa menarik diri daripada bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M) jika gagal mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM15 juta musim depan.

Keputusan drastik itu terpaksa diambil sebagai jalan terakhir Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang ketika ini masih bergelut mencari bantuan kewangan, baik daripada kerajaan negeri mahupun penaja.

Menurut Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad, pihaknya kini masih menantikan maklum balas Presiden FAS yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai bajet keseluruhan pasukan.

“Saya sudah buat rayuan dan serahkan bajet 2017 kepada presiden dan beliau memaklumkan akan menyerahkan kepada pengarah kewangan negeri untuk membuat penilaian. Kita sudah menurunkan bajet kita kepada RM15 juta daripada RM23 juta dan ini membabitkan perbelanjaan untuk menguruskan semua pasukan termasuk skuad Piala Presiden.

“Mungkin kita bakal tahu sedikit masa lagi dan kemudian baru kita buat keputusan sama ada menarik diri atau tidak. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah 80 tahun Selangor. Jadi saya harap FAS tak akan tarik diri dan kami akan cari jalan terbaik dengan mengadakan pertemuan sekali lagi dengan presiden selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco FAS semalam.

Arena Metro semalam melaporkan nasib Red Giants ketika ini tidak menentu apabila mereka bukan saja tidak mempunyai sumber kewangan malah hanya mempunyai 18 pemain dalam skuad termasuk tujuh pemain yang dibawa daripada skuad Piala Presiden.

Situasi itu cukup meresahkan pemangku jurulatih K Gunalan yang hanya semalam memulakan latihan pertama pasukan dengan baki kurang sebulan kempen Liga-M bermula.

Situasi Selangor ketika ini tidak ubah seperti Kelantan yang juga mengancam untuk menarik diri andai gagal mendapatkan sumber kewangan.

Mokhtar berkata, buat masa ini mereka tetap akan mendaftarkan pasukan beraksi dalam liga dan pemain yang ada akan meneruskan latihan seperti biasa.

“Memang kita memerlukan pemain tapi bergantung dengan kewangan pasukan nanti. Setakat ini Selangor akan dibimbing Gunalan kerana beliau masih ada kontrak bersama FAS.

“Kami juga akan berusaha untuk mendapatkan sumber kewangan beberapa penaja untuk membantu pasukan dan langkah ini juga sebagai usaha kami dalam proses penswastaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 10:48 AM