Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Seorang peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan melindungi dua anggota militan Daesh yang merancang melakukan serangan di negeri ini, antara Julai sehingga Ogos lalu.

Pertuduhan pindaan itu dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap tertuduh, Mohd Sanusi Satar,31, di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Sanusi dituduh melindungi penangkapan Jasanizam Rosni, 33, dan Md Saifuddin Muji, 28, yang diketahui merancang melakukan perbuatan pengganas di negeri ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Taman Manis, Parit Raja, di sini, antara 1 Julai sehingga 8 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda atau penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Majistret kemudian membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 1:46 PM