ANGGAP pengalaman berniaga amat berharga.
ANGGAP pengalaman berniaga amat berharga.
MELAKUKAN bisnes Food Truck di MINES International Exhibition & Convention Centre.
MELAKUKAN bisnes Food Truck di MINES International Exhibition & Convention Centre.
TIMBA pengalaman berniaga untuk mengisi masa lapang.
TIMBA pengalaman berniaga untuk mengisi masa lapang.
Redzuan Muharam


Keinginan menimba pengalaman bekerja mendorong dua graduan jurusan perubatan, Muhammad Adri Mohamad Shafit, 25, dan Muhammad Alif Zarwi, 25 membuka perniagaan berkonsepkan ‘food truck’ dikenali Doctors Brew.

Berbekalkan wang simpanan, Adri dan Aliff nekad mencuba nasib walaupun sedar dengan kemungkinan menanggung kerugian jika jualan minuman berperisa buah dan pencuci mulut mereka tidak mendapat sambutan.

Menurut Adri, bukan niatnya untuk beralih bidang tetapi sudah tiba masanya untuk dia dan Aliff mencari pengalaman sebagai usahawan sementara mereka menanti tawaran menjalani latihan industri di hospital.

“Sudah lama saya berhasrat untuk membuka perniagaan sendiri tetapi baru sekarang impian itu menjadi kenyataan.

“Walaupun tiada pengalaman dan sedar dengan risiko bakal dihadapi , saya sudah bersedia dan terima kasih kepada keluarga serta rakan yang memberi sokongan,” katanya yang membuka ‘food truck’ di Taman Sri Serdang.

Menceritakan detik permulaannya sebagai usahawan, Adri berkata, mereka menerima untung bersih sebanyak RM300 pada hari pertama berniaga.

Menurut Adri, walaupun tidak seberapa, nilai pendapatan itu amat bermakna baginya dan Aliff yang masih hijau dalam bidang keusahawanan.

“Ayah kata jumlah untung itu sedikit tetapi saya tidak patah semangat, sebaliknya terus berusaha dan kini bersyukur kerana semakin hari, semakin ramai pelanggan yang datang.

“Buat masa ini, perniagaan kami kekal dengan konsep ‘food truck’ dan bercadang membuka kios di dalam pusat beli-belah,” katanya.

Rakannya, Aliff yang bercita-cita menjadi doktor sejak kecil lagi tetapi bidang keusahawanan juga salah satu cabang yang ingin diterokainya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, walaupun hanya sekadar menjual minuman dan makanan, pengalaman itu amat berharga terutama baginya yang tidak pernah bekerja sebelum ini.

“Tempoh menunggu untuk menjadi doktor agak lama, jadi daripada duduk tanpa berbuat apa-apa di rumah, lebih baik saya berniaga.

“Selain memperbaiki kemahiran berkomunikasi, pekerjaan ini juga memberi peluang untuk saya bermula dari bawah, sekali gus bersikap rendah diri,” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Mengenai hala tujunya , Aliff berkata, perniagaan itu tidak akan disia-siakannya walaupun selepas bergelar doktor kelak.

“Bukan senang untuk kami bertapak dalam bidang ini, jadi mustahil untuk berhenti begitu saja, lagipun perniagaan sudah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Cuma, kami mungkin akan mengambil pekerja untuk membantu perniagaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:54 AM