Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: British Airways, syarikat penerbangan antarabangsa terbesar di United Kingdom (UK) melihat Malaysia sebagai salah satu daripada pasaran utamanya di Asia Pasifik dan kekal komited untuk memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat di negara ini.

Antara strategi dalam memperkukuh kehadirannya di Malaysia adalah melalui pengenalan program kesetiaan ‘On Business’ yang baru dilancarkan, disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin berkembang ketika ini.

Program berkenaan akan menggabungkan program kesetiaan tiga syarikat penerbangan iaitu British Airways, Iberia dan American Airlines yang membolehkan pelancong perniagaan mengumpul mata dan membelanjakannya di semua syarikat penerbangan di bawah satu skim.

Ketua Jualan Asia Pasifiknya, Robert Williams berkata, Malaysia adalah negara kesembilan di rantau ini yang mengaktifkan program itu yang terbukti sangat popular dalam kalangan PKS di Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

Beliau berkata, pelancaran program di sini menunjukkan komitmen syarikat penerbangan itu kepada Malaysia dan yakin PKS akan mendapat manfaat daripada program ini kerana ia membantu syarikat di dunia menjimatkan £47 juta dalam perbelanjaan perjalanan pada tahun lalu.

“Berdasarkan kajian dilakukan, kami mendapati maklum balas yang memberangsangkan bagi permintaan perjalanan Kuala Lumpur ke London sejak British Airways memulakan kembali operasinya sejak Mei tahun lalu selepas menamatkan operasi pada 2001.

“Kini, kami kembali beroperasi di negara ini dengan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat Boeing 777 menerusi tawaran empat produk utama dalam kabin yang menawarkan akses penuh kepada semua rangkaian kami,” katanya, di sini.

Williams berkata, menerusi program kesetiaan itu, ahli akan diberi ganjaran bagi wang yang dibelanjakan daripada jarak penerbangan atau bilangan pesawat yang dinaiki, menjadikannya mudah bagi syarikat untuk menguruskan bajet mereka untuk memenuhi keperluan perjalanan mereka.

“Kita menyusun program ‘On Business’ ini menggunakan sistem tiga tingkat, dengan setiap AS$1 yang dibelanjakan, memberikan masing-masing satu mata, 1.25 mata dan 1.5 mata untuk tingkat pertama, kedua dan ketiga. Setiap ahli mestilah syarikat berdaftar dengan tiada had ke atas bilangan petugas dan prestasi kewangan,” katanya.

Katanya, ahli baru dari Malaysia boleh menikmati bonus tiga mata ‘On Business’ bagi enam penerbangan pertama yang layak dalam tempoh 12 bulan pertama keahlian baru dan antara kelebihannya ialah ahli yang membeli tiga tiket kelas perniagaan ke London akan mendapat satu tiket ekonomi percuma bagi laluan yang sama.

Ketika ditanya mengenai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang mula memperkenal tambang murah untuk laluan sama, Williams berkata, pihaknya mengalu-alukan persaingan sihat kerana ia akan membantu merancakkan industri penerbangan di Malaysia, sekali gus menjadikannya lebih kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 7:17 AM