ANTARA koleksi basikal antik dimiliki Yusof.
ANTARA koleksi basikal antik dimiliki Yusof.

Bagi kebanyakan orang, basikal tua selayaknya berada di tempat besi buruk atau dihumban saja ke dalam perigi buta.

Tidak ramai mempunyai sikap seperti Mat Yusof Md Yatim, 64, yang sangat menghargai basikal lama hingga menganggap ia sebagai khazanah terlalu tinggi nilainya.

Sebab itulah, pantang mendengar ada orang mahu membuang atau menjual basikal tua, bekas pesara tentera ini sanggup memandu kereta ratusan kilometer untuk memilikinya.

Bukan saja basikal yang sempurna, malah jika ia hanya tinggal kerangka sekali pun, beliau masih sanggup membelinya. Kebanyakan basikal atau kerangka itu kemudian dibaik pulih dan dicat semula seolah-olah baru dihasilkan dari kilang.

Tidak hairanlah pada suatu ketika dulu, halaman rumahnya di Kampung Tengah Relau, Bandar Baharu, Kedah, bertukar wajah bagaikan tempat pameran basikal klasik kerana Yusof pernah memiliki 35 basikal lama.

Ia terdiri daripada pelbagai jenama, antaranya Hercules, Philips, Raleigh, Rudge, Triumph, Robin Hood Hopper dan King Edward VII, sebahagian besarnya dikeluarkan dari tahun 1930 hingga 1950-an.

Namun, ketika ditemu bual baru-baru ini, baki yang tinggal hanya empat buah dan beberapa kerangka kerana kebanyakannya sudah dijual kepada penggemar basikal klasik.

Antara yang masih kekal ialah basikal jenis Raleigh berusia 68 tahun kerana mempunyai nilai sentimental kepada Yusof. Basikal itu dibeli ayahnya pada tahun 1960-an untuk kegunaan beliau ke sekolah.

Yusof berkata, minatnya terhadap basikal berputik ketika bertugas sebagai anggota tentera di Labuan sekitar tahun 1970-an.

“Ketika bertugas di bahagian Kor Risikan di Labuan, saya kerap dihantar ke Brunei dalam misi bersama tentera negara itu dan juga Indonesia. Di sana, kebanyakan mereka menggunakan basikal untuk memudahkan pergerakan.

“Malah, ketika itu, basikal seolah-olah kenderaan utama mereka. Sebarang aktiviti dilakukan sama ada tugasan atau bersiar-siar, basikal menjadi pilihan.

“Jadi, secara tidak langsung, saya sendiri banyak menggunakan basikal ketika bertugas di sana hingga mencetuskan hobi berbasikal sebagai riadah waktu lapang.

“Apabila pulang ke Labuan, saya berbasikal untuk sebarang urusan dalam kem. Saya juga menjadi ahli Kelab Basikal Tua Labuan dengan kebanyakan ahlinya menggemari basikal klasik.

“Lama-kelamaan saya sendiri mula jatuh cinta dengan basikal lama. Koleksi pertama saya sudah tentu basikal Raleigh yang dibeli ayah dari kedai pajak gadai dengan harga RM188 pada tahun 1960-an. Mengikut rekod, basikal itu dikeluarkan pada 1948, bermakna sekarang berusia 68 tahun.

“Ia basikal kesayangan saya kerana mengembalikan kenangan pada zaman persekolahan. Walaupun ada yang mahu membeli dengan harga mahal, saya tidak menjualnya,” katanya.

Menurut Yusof, beliau mula mengembangkan minat terhadap basikal klasik sebaik bersara dan pulang ke kampung pada 1984. Selain membuka bengkel membaiki basikal lama, beliau menjelajah ke seluruh pelosok negara seperti Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Negeri Sembilan untuk menambah koleksinya.

Sepanjang bergelar pengumpul basikal klasik, Yusof menganggarkan beliau sudah membelanjakan RM50,000 untuk membeli dan memperbaiki basikal lama. Namun, pelaburan itu ternyata berbaloi kerana kebanyakan basikal yang dibeli mampu dijual semula.

Malah, beliau berkata, permintaan terhadap basikal lama ibarat pisang goreng panas kerana ada saja pelanggan sanggup menunggu tempahan berbulan-bulan lamanya.

Promosi daripada mulut ke mulut serta aktiviti yang disertai sebagai ahli Persatuan Basikal Klasik Taiping menyebabkan nama Yusuf dikenali dalam kalangan penggemar basikal tua.

“Harga sebuah basikal yang dibeli antara RM100 hingga RM700, bergantung pada keadaan. Kemudian, saya membaiki dan menukar bahagian yang rosak.

“Bagi membaik pulih sesebuah basikal, saya perlukan modal besar kerana hanya menggunakan alat ganti tulen. Alat ganti seperti tempat duduk, lampu, loceng, meter kelajuan, alat pengayuh dan logo jenama basikal bukan saja sukar diperoleh, malah mahal iaitu antara RM300 hingga RM450 seunit.

“Malah, jika anak saya (Norhaidzam) yang bertugas dengan Muzium Angkatan Tentera ke England atas urusan kerja, saya akan meminta dia mencari alat ganti itu di sana walaupun harganya sangat mahal. Ini bagi memastikan ketulenan basikal lama itu kekal,” katanya.

Yusof berkata, beliau menjual semula basikal berkenaan dengan harga antara RM600 hingga RM3500. Beliau menganggap sebagai satu sejarah apabila seorang kenamaan dari Alor Star sanggup membeli basikal jenama BSA miliknya dengan harga RM8,000.

Selain basikal antik, Yusof juga menyimpan khazanah negara yang sangat berharga iaitu watikah pengisytiharan kemerdekaan yang ditulis dalam tulisan Jawi. Ia diwarisi daripada ayahnya Allahyarham Md Yatim Mohd Taib yang ketika muda bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan politik.

“Sudah ada yang mahu membeli, tapi saya tak berminat menjualnya kerana ini catatan hari bersejarah negara yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit. Malah, saya sudah berpesan kepada anak supaya terus menjaga warisan ini seandainya saya sudah tiada kelak,” katanya. - Rodly Fadly

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 5:38 AM