SEKOLAH Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas, Kuala Lumpur muncul juara Pertandingan Choral Speaking Bank Rakyat.
SEKOLAH Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas, Kuala Lumpur muncul juara Pertandingan Choral Speaking Bank Rakyat.
Siti Nur Mas Erah Amran


SEKOLAH Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki yang mempamerkan kehebatan masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori sekolah rendah dan menengah pada Pertandingan Akhir Choral Speaking, baru-baru ini.

Pada pertandingan berlangsung di Esplenade, Suria KLCC itu, pasukan Sekolah Kebangsaan Convent (2) Bukit Nanas yang berjaya menewaskan empat sekolah rendah lain bukan saja memperlihatkan persembahan cukup menarik, malah berjaya memenangi baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM5,000.

Tempat kedua bagi kategori sama disandang oleh Sekolah Kebangsaan Subang Jaya manakala Sekolah Jenis Kebangsaan (C) St Joseph, Papar menduduki tempat ketiga.

Kedua-dua pasukan berkenaan membawa pulang baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM3,000 dan RM2,000.

Turut bersaing dalam pusingan akhir ini ialah Sekolah Kebangsaan Jalan 3 Bandar Baru Bangi, Selangor dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, Johor.

Sementara itu, pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki turut membawa pulang baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM5,000 selepas menewaskan empat pasukan lain.

Pasukan Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur pula menduduki tempat kedua dan meraih hadiah baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM3,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai, Jitra dan berjaya membawa pulang baucar Akaun Simpanan-i Bank Rakyat bernilai RM2,000.

Turut menyertai kategori sekolah menengah dalam pusingan akhir ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abd Rahman Yassin, Johor dan SMK Taman Scientex, Johor Bahru.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan sejak penyertaan dibuka dari 20 Julai sehingga 28 Ogos lalu.

“Kami menerima penyertaan 88 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara membabitkan 1,848 pelajar.

“Pasukan yang layak ke peringkat akhir dinilai menerusi video berdurasi tidak lebih daripada lima minit bertemakan Young and Proud Malaysians bagi kategori sekolah rendah dan Innovation and Sustainable Malaysia bagi kategori sekolah menengah.

“Pertandingan ini inisiatif Kelab Nuri Bank Rakyat sempena Hari Malaysia bagi menyemarakkan semangat Sayangi Malaysiaku dalam kalangan generasi muda.

“Ia turut memperkasakan tahap penguasaan bahasa Inggeris, sekali gus memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar,” katanya.

Bagi kategori Video Paling Popular, ia dimenangi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) St Joseph dengan 1,151 undian dan Video Paling Banyak Dikongsi dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abd Rahman Yassin dengan jumlah kongsian sebanyak 18,438 di media sosial.

Kedua-dua pasukan itu terbabit membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000.

Pertandingan akhir bagi setiap kategori diadili oleh tiga orang juri profesional daripada Petrosains, Kementerian Pendidikan Malaysia dan serta pensyarah Taylor’s International School.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 4:30 AM