Oleh Muhamaad Razis Ismail

Bachok: Penjenayah yang paling dikehendaki di Kelantan, Nuar Ayam atau nama penuhnya Anuar Mohamed, 37, dihadapkan di Mahkamah Majistret Bachok tadi terhadap tuduhan membunuh pemilik kedai peralatan binaan, Februari lalu.

Tertuduh hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh Mustaffa Sidik, 52, di sebuah kedai di Beris Lalang di sini pada jam 5.50 petang, 5 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh diwakili peguam Firdaus Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 12:03 PM