Syamsul memakai anduh cedera di lokasi penggambaran. FOTO SY
Syamsul memakai anduh cedera di lokasi penggambaran. FOTO SY
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Syamsul Yusof patah serta retak tulang bahu kiri selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjayakan babak aksi filem Makrifat Cinta.

Syamsul berkata kejadian semalam menyebabkannya terpaksa berehat seketika dan membuat pemeriksaan lanjut di hospital, hari ini.

“Kejadian ini berlaku di set penggambaran filem Makrifat Cinta. Saya melakukan babak aksi sendiri tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri.

“Dalam babak saya perlu melompat selepas kereta meletup. Namun, saya melakukan kesilapan dan mengalami kecederaan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Syamsul yang juga pengarah filem Munafik berkata, itu pengalaman pertamanya cedera ketika melakukan babak aksi.

“Sebelum ini, saya pernah melakukan aksi yang lebih merbahaya tetapi tak berlaku apa-apa. Tak sangka pula kali ini berlaku kemalangan. Saya anggap ini ujian.

“Isteri saya yang kini hamil terkejut dan sangat risau sehingga melarang saya meneruskan penggambaran. Seboleh-bolehnya, dia mahu saya berehat dahulu sehingga benar-benar pulih,” katanya.

Pun begitu, berikutan tuntutan kerja dan tanggungjawab Syamsul memilih meneruskan penggambaran esok.

“Saya diberi cuti sehari dan esok akan kembali ke set. Mujur babak esok memerlukan saya memakai anduh kerana cedera dalam babak itu dan tak sangka pula ia benar-benar berlaku,” katanya.

Selain Syamsul, filem arahan Kamal G itu turut membariskan ramai bintang terkenal termasuklah Nora Danish dan Nabila Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 5:07 PM