SYAMSUL Yusof. FOTO arkib NSTP
SYAMSUL Yusof. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENGARAH dan pelakon popular, Syamsul Yusof, 36, membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan keterlaluan dan mengancam keselamatannya serta keluarga daripada individu tidak dikenali di Instagram.

Syamsul ketika ditemui berkata, ugutan itu diterima menerusi 'direct message' daripada akaun bernama Velvelblackkl di Instagram.

"Saya baru menyedari kewujudan mesej itu kira-kira jam 10 malam semalam dan saya tak pasti bila ia dihantar. Saya tak tahu sama ada dia bermusuh dengan saya atau apa, tapi yang pasti mesejnya berbaur ugutan dan mengancam keselamatan saya serta keluarga. Ia sangat keterlaluan," katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang, hari ini.

Syamsul turut ditemani dua peguamnya iaitu Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli dari Tetuan Saiful, Roger & Co.

Menurut pelakon dan pengarah filem Munafik itu, kecaman dan mesej itu semakin menjadi-jadi terutamanya selepas isu rumah tangganya dengan isteri, Puteri Sarah mula menjadi bualan.

"Saya pernah melihat akaun Instagram itu awal tahun lalu, tapi tak terlalu bagi tumpuan pun. Tapi, semakin lama dia semakin berani mengugut," katanya.

Syamsul turut mendedahkan isterinya pernah diekori individu tidak dikenali kira-kira sebulan lalu.

"Waktu itu, Sarah memaklumkan dia diekori individu tidak dikenali yang bertubuh besar dan memakai gelang. Pada waktu itu lagi saya sepatutnya sudah buat laporan polis," katanya.

Dalam pada itu, Syamsul juga menegaskan, dia tidak akan menjadi 'Mr Nice Guy' lagi seperti sebelum ini.

"Kalau tak puas hati, jumpa saya depan-depan. Saya sanggup mati, tapi jangan sentuh anak-anak. Saya sudah lama bersabar, jadi saya takkan jadi 'Mr Nice Guy' lagi selepas ini kerana ini sudah melampau," katanya. September lalu, Syamsul berdepan fitnah daripada seorang YouTuber dan mengambil tindakan untuk menyaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:17 PM