DR Mohamed Ibrahim pada majlis pelancaran Caris Molecular.
DR Mohamed Ibrahim pada majlis pelancaran Caris Molecular.
Hajahfarhana Tarmudi


Apabila menyebut kanser, ramai yang takut dan bimbang apatah lagi ia dikenal pasti sebagi punca kematian ketiga paling umum di negara ini.

Kira-kira 100,000 rakyat Malaysia menghidap kanser setiap tahun dan terdapat kira-kira 10,000 kes yang masih tidak berdaftar. Menjelang 2020, diramalkan terdapat 15 peratus tambahan bilangan kes barah termasuk dalam kalangan warga emas.

Menurut Pengarah Perubatan dan Pakar Runding Onkologi Klinikal Datuk Dr Mohamed Ibrahim Wahid, tiada pendekatan yang sesuai untuk semua dalam rawatan kanser kerana ciri kanser tidak sama dalam kalangan semua pesakit.

Lazimnya, penghidap kanser diberikan rawatan piawai yang kemudian dilaraskan mengikut kaedah ‘cuba jaya’. Ini bermakna jika rawatan pertama gagal mengawal kanser, pakar onkologi akan beralih ke pilihan kedua dan seterusnya sehingga menemui terapi sesuai dengan pesakit.

“Pendekatan ini berkesan kepada sesetengah pesakit, tetapi mungkin tidak bermanfaat untuk semua orang. Sesetengah pesakit mengalami hasil rawatan yang tidak berkesan seperti kurang rawatan, terlebih rawatan dan kesan sampingan.

“Namun, kesan paling serius apabila segelintir pesakit mungkin mengalami kesan toksik teruk, jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.

“Oleh itu, masa adalah faktor paling penting bagi pesakit selain keupayaan untuk mengelakkan proses rawatan ‘cuba jaya’ dan ‘tekaan’ di samping menentukan rawatan paling baik untuk penghidap kerana tindak balas yang diberikan berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Ujarnya, kesan rawatan akan mempengaruhi kualiti kehidupan pesakit kerana sesetengah mereka terpaksa mencuba semua pilihan rawatan biasa kerana sel kanser tidak bertindak balas dengan mana-mana rawatan yang diberikan.

Hal berkenaan akan memberi kesan kepada pesakit secara fizikal, emosi dan kewangan. Disebabkan itu, pakar onkologi memerlukan alat perubatan seperti Caris Molecular Intelligence yang membantu menyesuaikan terapi secara peribadi serta menambah baik hasil dan kualiti kehidupan pesakit.

Kunci perubatan kanser

Caris Molecular Intelligence yang dipelopori syarikat bioteknologi, Caris Life Sciences ialah perkhidmatan profil tumor pertama menggunakan gabungan ujian tumor komprehensif dengan penyelidikan klinikal terbaru mengenai biopenanda untuk memeriksa setiap tumor pelbagai peringkat biologi kanser.

Ia bertujuan membantu memberi pakar onkologi maklumat tepat bagi menilai pilihan rawatan yang boleh dijalankan.

Pengurus Besar dan Naib Presiden Hal Ehwal Klinikal Caris Life Sciences Dr Andreas Voss berkata, kefahaman yang jelas mengenai kajian profil tumor penting untuk memilih rawatan yang berkemungkinan lebih berkesan menentang sel kanser.

“Melalui pangkalan data klinikal yang kukuh, pakar onkologi dapat membuat keputusan rawatan sewajarnya bagi setiap pesakit.

“Kami berharap dapat memberikan sokongan terbaik kepada pakar onkologi untuk membantu memanjangkan hayat pesakit, mengurangkan penderitaan, menambah baik hasil rawatan dan meningkatkan kualiti kehidupan,” katanya.

Ujarnya, bagi memberikan sokongan berterusan kepada pakar onkologi, pesakit kanser dan penjaga mereka, Caris Life Sciences menubuhkan portal dalam talian, MyCancer.com bagi menyediakan maklumat mengenai profil molekul, biopenanda kanser dan transformasi rawatan kanser menerusi penyelidikan yang sedang berkembang.

Pada masa sama, ia ditubuhkan bertujuan meningkatkan kefahaman dan keupayaan pakar onkologi dan keupayaan menyesuaikan terapi antikanser serta menambah baik penjagaan pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 11:30 AM