Agensi

Manila: Peledak berbisa Thailand, Teerasil Dangda enggan terlalu memikirkan soal anugerah penjaring terbanyak sebaliknya bertekad untuk memastikan negaranya terus menyimpan Piala AFF selepas memainkan watak penting dalam aksi sulung Kumpulan A dengan membenam cabaran Indonesia 4-2, kelmarin.

Teerasil, 28, yang juga kapten Thailand nyata berada di kelasnya tersendiri apabila mencatat hatrik pertama buat meletakkan dirinya pada posisi terbaik untuk merebut anugerah penjaring terbanyak.

Begitupun, bekas penyerang Muangthong United itu enggan terlalu memikirkan anugerah itu sebaliknya mahu memastikan skuad Gajah Putih terus mendominasi kejuaraan itu.

“Misi kami adalah untuk mempertahankan Piala AFF dan hatrik saya hari ini (kelmarin) hadiah kepada pasukan. Saya harap kami akan terus mencatat kemenangan dalam aksi berikutnya.

“Siapa menjaringkan gol tidak penting kerana kami bermain sebagai satu unit,” kata Teerasil.

Pada aksi yang berlangsung di sebelah petang itu, Thailand yang juga juara bertahan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi penyerang mereka Notechaiya Peerapat dan Teerasil masing-masing pada minit keempat dan ke-36.

Namun sebaik bersambung babak kedua, skuad Garuda kembali bangkit dengan dua gol hasil tandukan Boaz Salossa minit ke-53 dan Lerby Elandry tiga minit kemudian sekali gus mengikat kedudukan.

Menjelang baki 20 minit aksi, Teerasil berjaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-70 sebelum dia sekali lagi mencetak gol keempat untuk mengesahkan tiga mata penuh.

“Kami berjaya meraih tiga mata dalam aksi pertama dan ia amat penting. Bagi saya ia keputusan yang cukup baik.

“Memang agak mengejutkan melihat aksi Indonesia yang sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa akibat digantung FIFA. Namun saya berbangga dengan pasukan saya,” kata pengendali Thailand, Kiatisuk Senamuang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:11 AM