Amirul Haswendy Ashari

Awal bulan ini, peminat Running Man dikejutkan dengan berita seorang daripada selebriti popularnya, Gary meninggalkan program itu selepas enam tahun bersama.

Kini peminat mulai tertanya-tanya adakah seorang lagi selebriti Running Man, Kim Joong Kook (KJK), 40, akan mengikut jejak Gary?

Ia susulan KJK membidas kritikan diterima selepas dia didakwa sengaja mencari alasan enggan menyertai perkhidmatan wajib tentera Korea Selatan.

Pada awal bulan ini, KJK memuat naik foto belakang tubuhnya selepas sesi ‘workout’ di gimnasium. Ada peminat memuji susuk tubuhnya yang ‘sado’ tetapi ada juga segelintir netizen yang mengambil kesempatan dengan memberi komen negatif serta soalan provokasi mengenai isu berkaitan.

Ada yang menghukum dengan menyatakan dia tidak layak mendapat layanan istimewa untuk tidak mengikuti latihan tentera kerana tubuhnya kelihatan sempurna.

Sehari selepas dikritik, KJK memuat naik foto X-ray yang menunjukkan masalah kesihatan dialami dikenali sebagai Skoliosis.

Katanya, dia mempunyai tulang belakang seperti ini sedari sekolah tinggi. Katanya, ramai bertanya bagaimana dia melakukan senaman berat dengan bentuk tulang belakang seperti ini.

“Saya beritahu mereka, saya terpaksa buat sesuatu untuk menyokong lengkuk pada tulang belakang saya,” katanya.

Berserta dengan foto itu, dia menulis kapsyen #NeverComplained (tidak pernah merungut) yang bukan saja bertujuan untuk membela diri malah menjawab kritikan netizen.

Katanya, orang kalah selalu beri alasan untuk tidak mempercayainya.

“Mereka ambil sikap tidak mahu percaya. Tolonglah! Buatlah apa yang kamu mahu lakukan. Tiada yang mustahil jika kamu lakukan yang terbaik walaupun ada kelemahan,” katanya.

Bersama kata-kata itu, dia sekali lagi meletak kapsyen #Motivation (motivasi), #BPositive (jadi positif) dan #ImpossibleIsNothing (tiada yang mustahil).

Imbas kembali, pada kemuncak kerjaya, KJK menjadi pekerja am selama dua tahun berbanding melakukan tugas dalam tentera.

Situasi itu mendapat tentangan teruk daripada masyarakat Korea Selatan yang mendakwa layanan istimewa itu berpunca daripada statusnya sebagai selebriti. Selepas 10 tahun, isu sama masih dibangkitkan terhadap penyanyi itu.

Pada masa ini, KJK dikenali melalui pelbagai nama antaranya Tiger, SpartaKooks dan Mr Capable dalam program Running Man.

Dia mengekalkan imej sebagai peserta selebriti paling kuat dalam program itu. Disebabkan fizikalnya itu juga, dia masih dikritik netizen.

Dalam beberapa temuramah, KJK berulang kali menjelaskan masalah kesihatan dialami dan karakternya dalam Running Man tidak bermakna dia sebenarnya kuat.

“Sama ada badan saya sakit atau tidak, mungkin saya patut berkhidmat sebagai tentera sepenuh masa,” katanya dalam satu temuramah bersama SBS.

KJK akui apabila difikirkan semula, dia sedar isu ini sangat sensitif. Katanya, dia seorang selebriti dan menerima banyak sokongan dan kasih sayang daripada peminat disebabkan kerjanya.

“Saya rasa perlu membuat keputusan yang lebih bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:06 AM