Fardy Bungga


Serdang: Enam lelaki bersenjatakan pistol memecah masuk dan merompak kedai emas di Tesco Jalan Bandar Puchong, kira-kira 11 pagi ini.

Empat suspek dikatakan memakai helmet masuk ke premis itu dan bertindak memecahkan almari kaca pameran menggunakan tukul besi manakala dua lagi rakan menunggu di luar pasar raya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias, berkata semua suspek terbabit dapat melarikan lapan dulang emas yang dianggarkan lebih RM100,000.

Katanya, ketika kejadian tiada pelanggan berada di premis itu dan hanya beberapa pekerja kedai emas berkenaan.

"Tiada sebarang tembakan dilepaskan dan pekerja yang berada di dalam premis juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 3:56 PM