CIRI-CIRI keselamatan dan keunikan not RM100 ditonjolkan.
CIRI-CIRI keselamatan dan keunikan not RM100 ditonjolkan.
PENONTON mampu menghayati hasil seni pada mata wang Malaysia jika ia dilihat dengan lebih teliti.
PENONTON mampu menghayati hasil seni pada mata wang Malaysia jika ia dilihat dengan lebih teliti.
NOT RM50 dan Not 1 kuan China (Dinasti Ming) memaparkan ciri keselamatan di bawah cahaya ultra ungu.
NOT RM50 dan Not 1 kuan China (Dinasti Ming) memaparkan ciri keselamatan di bawah cahaya ultra ungu.
MATA WANG bersaiz ‘gergasi’ dipaparkan untuk penonton.
MATA WANG bersaiz ‘gergasi’ dipaparkan untuk penonton.
WAN Muhammad Danial bersama koleksi not 10,000 ringgit tahun 1962 yang tidak pernah diedarkan.
WAN Muhammad Danial bersama koleksi not 10,000 ringgit tahun 1962 yang tidak pernah diedarkan.
Siti Salmiah A Hamid


Pernahkah anda terfikir mengenai nilai seni pada wang kertas yang biasanya dimasukkan ke dalam dompet sehinggalah ia hendak digunakan.

Secara umumnya ia lebih dikenali sebagai alat yang diguna ketika pembelian tetapi tidak ramai meneliti karya seni pada wang berkenaan.

Walaupun saiz wang kertas lebih kecil berbanding kanvas, banyak karya seni dipamerkan seperti tanda tangan, aspek keselamatan dan corak yang berkait rapat dengan sesebuah negara.

Mereka cipta wang kertas memerlukan kerjasama berkumpulan yang diselia bank pusat.

Bank Negara Malaysia (BNM) misalnya tidak pernah ketinggalan mengeluarkan wang kertas menarik. Buktinya, siri terbaru lebih berwarna-warni dan inovatif.

Bagaimanapun, aspek keselamatan tidak diabaikan kerana kepentingannya menambah dimensi baru dalam kerjasama pereka, pencetak dan bank untuk menghasilkan wang kertas paling asas.

Mata wang Malaysia

Bank Negara mula mengeluarkan wang kertas Malaysia pada Jun 1967 bagi menggantikan mata wang Malaya dan British Borneo dalam nilaian $1, $2, $5, $10, $20, $50, $100, $500 dan $1,000. Pada 11 November 1992, Kabinet mengumumkan pertukaran simbol ‘$’ dengan ‘RM’ bagi melambangkan mata wang Malaysia. Simbol RM secara rasmi diumumkan penggunaannya pada 1 Disember 1992.

Keunikan siri keempat wang kertas Malaysia

Ciri-ciri unik bercorak budaya dan warisan negara serta keindahan alam semula jadi dijadikan sumber inspirasi dalam reka bentuk wang kertas siri terbaru. Dengan tema ‘Keunikan Malaysia’, siri keempat wang kertas itu memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi serta tradisi.

Muka hadapan wang kertas tetap sama iaitu potret ukir benam Yang di-Pertuan Agong pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang dikekalkan di bahagian kanan sementara bunga raya ditampilkan di bahagian tengah.

Not RM100

Dua keajaiban alam semula jadi negara yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Gunung Kinabalu dan formasi batu kapur di lembah Gunung Api dipaparkan pada wang kertas RM100.

Not RM50

Bahagian belakang wang kertas ini menampilkan gambar Tunku Abdul Rahman Putra sewaktu mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu manakala pokok kelapa sawit menunjukkan penjanaan ekonomi negara.

Corak anyaman songket pada latar belakang dan sisi wang kertas ini, ditampilkan untuk mencerminkan kraf tangan dan sulaman tekstil Melayu tradisional.

Not RM20

Dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu penyu karah (Eretmochelys imbricata) dan penyu belimbing (Dermochelys coriacea) yang juga lambang hidupan laut di perairan tropika dipaparkan pada wang kertas RM20 baru.

Not RM10

Hutan Malaysia mempu­nyai pelbagai jenis pokok berbunga dan antara yang terkenal ialah bunga terbesar di dunia, Rafflesia. Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 adalah spesies Semenanjung Malaysia dan pertama kali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di Perak pada 2003.

Not RM5

Burung enggang badak (Buceros rhinoceros) antara spesies enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia dipaparkan pada wang kertas polimer RM5. Burung bersayap lebar dan berekor panjang ini boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara.

Not RM1 Wau Bulan yang terkenal di Kelantan dan Terengganu dipaparkan pada wang polimer RM1.

Aspek keselamatan

Sebelum wang kertas menjadi bahan dengan daya tarikan estetika, ia perlu memenuhi keperluan asas keselamatan. Tujuan asalnya bukan untuk menerbitkan bahan yang cantik tetapi dokumen yang sah dan tidak dapat dipalsukan. Namun, menjadikan wang kertas canggih dari segi teknologi, ia juga perlu canggih dari segi visual.

Tera air

Sejak diperkenalkan pada abad ke-17, wang kertas menjadi mangsa percetakan haram. Tera air (cop atau mohor pada kertas) pertama adalah untuk wang kertas keluaran tahun 1661 Stockholm Banco yang memaparkan perkataan ‘Banco’ dalam gulungan kertas. Di England, tera air yang diperkenalkan pada 1697 juga merujuk sebagai perkembangan membabitkan corak bergulung dan berbingkai, diikuti dengan perkataan ‘Bank of England’.

Serat keselamatan

Proses menyulam ‘serat’ asing ke dalam wang kertas dijadikan subjek ujian sejak sebelum kurun ke-19. Benjamin Franklin cuba mencari penyelesaian itu sehinggalah pada kurun ke-19, penggunaan serat berwarna berjaya dipelopori dan dipatenkan Wilcox Paper dari Amerika Syarikat menggunakan serat jut. Serat sutera dijumpai dalam wang kertas Sepanyol pada era yang sama. Ini boleh dibuat mengikut keperluan wang kertas seperti diletakkan pada sudut kiri pada German Reichsbak 1,000 mark pada 1900 atau di pinggir wang kertas Sweden.

Jenis kertas

Wang kertas awal menggunakan kertas biasa yang boleh dibeli dari kedai dan dicetak di merata tempat. Menjelang 1724, Bank of England mengawal ketat pengeluaran wang kertas dan satu perjanjian dimeterai dengan firma Henry Portal untuk mengeluarkan wang kertas yang mempunyai tera air. Firma ini mengeluarkan wang terbabit sehinggalah diambil alih oleh De La Rue pada 1995. Proses ketat dilakukan bermula dengan penghantaran kertas itu dari kilang ke bank yang dimasukkan dalam peti besi.

Wang kertas Stockholm Banco pada asalnya dicetak atas kertas kain putih jenis linen berikutan ia bahan lazim yang digunakan untuk wang kertas Eropah pada abad ke-18. Ketika Perang Dunia ke-II, pihak Nazi cuba memalsukan wang kertas Bank of England tetapi gagal. Ia disebabkan penggunaan linen baru yang disangka asli sebenarnya diperbuat daripada kampit surat lama.

Terdapat banyak lagi elemen keselamatan yang sering dipertingkatkan seperti tulisan huruf mikro, unsur pendarfluor nombor dwiwarna, imej terpendam berwarna-warni yang berubah warna apabila dipandang dari sudut berbeza dan jalur holografik di sisi wang kertas serta imej yang hanya kelihatan melalui kesan moirÈ.

Wang kertas bercantum

Setiap wang kertas mempunyai nombor siri yang unik. Ia lebih tahan lama jika diperbuat daripada polimer. Selalunya wang polimer bertahan dua kali lebih lama berbanding wang kertas yang secara umumnya akan bertahan selama 24 bulan.

Wang kertas bercantum tidak dapat dijumpai dalam edaran kerana saiznya yang berbeza tetapi ia sangat bernilai bagi pengumpul mata wang. Namun, nilai wang kertas bercantum tidak setinggi nilai wang kertas salah cetak yang jarang ditemui.

Dalam edaran

Pengguna tidak dapat menyaksikan peringkat edaran kerana wang kertas ditransitkan antara BNM dan pejabat wilayah BNM serta institusi kewangan. Kawalan keselamatan semasa proses penghantaran ini sangat ketat bergantung kepada kuantiti wang dihantar.

Pada pertengahan 2016, jumlah wang kertas dalam edaran dianggarkan berjumlah RM94 bilion. Jumlah itu dalam not RM50 (RM42 bilion) dan RM100 (RM37 bilion). Wang kertas paling sedikit dalam edaran ialah not RM1,000 iaitu RM25 juta.

Pelupusan

Apabila wang kertas sudah tidak sesuai untuk edaran, penamatnya ialah dilupuskan. BNM merincih kira-kira 1.7 juta helai wang kertas setiap hari. Bank pusat itu memiliki peralatan yang bukan saja dapat meracik wang kertas kepada cebisan kecil, malah boleh memampatkannya menjadi bongkah kecil yang boleh dikitar semula.

Karya Kertas Seni Mata Wang bakal membawa anda ke dunia wang kertas yang lazimnya tersembunyi. Lawati BNM dan kunjungi Muzium dan Galeri Seni di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, untuk menyaksikan keunikan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 11:58 AM