FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

London: Bank of England (BoE) akan menarik balik status wang kertas 20 dan 50 Pound Sterling sebagai wang sah pada 30 September 2022.

Ini bermakna sesiapa yang memilikinya, perlu membelanjakan atau menyimpannya di bank atau pejabat pos.

The National News melaporkan bank berkenaan mengumumkan perkara itu pada Rabu, sehari selepas menyatakan kemungkinan akan ada kenaikan kadar faedah.

Dianggarkan, wang kertas 20 Pound Sterling bernilai sembilan bilion Pound Sterling dan wang kertas 50 Pound Sterling bernilai 15 bilion Pound Sterling masih dalam edaran

Penarikan semula itu bermakna wang kertas polimer akan menjadi wang sah untuk denominasi 20 dan 50 Pound Sterling.

Walaupun wang semasa akan menjadi tidak laku tahun depan, BoE berkata, orang ramai masih boleh memasukkannya ke dalam akaun mereka.

Beberapa cawangan pejabat pos mungkin menerimanya sebagai pembayaran bagi barang dan perkhidmatan atau sebagai deposit ke akaun menerusi urusan di kaunter.

Ketua juruwang BoE, Sarah John berkata, keputusan itu dibuat atas alasan keselamatan dengan wang kertas versi baharu itu lebih sukar untuk dipalsukan.

"Wang kertas polimer 20 Pound Sterling yang menampilkan artis JMW Turner dan wang kertas polimer 50 Pound Sterling yang menampilkan saintis Alan Turing kini diedarkan secara meluas," katanya.

Polimer baharu 20 Pound Sterling dikeluarkan pada 20 Februari tahun lalu dan polimer 50 Pound Sterling pada 23 Jun tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:40 AM