SEORANG penduduk dan anaknya menaiki rakit batang pisang di kampung Kedungwaringin di Bekasi di Jawa Barat yang dilanda banjir kelmarin. - Antara
SEORANG penduduk dan anaknya menaiki rakit batang pisang di kampung Kedungwaringin di Bekasi di Jawa Barat yang dilanda banjir kelmarin. - Antara
Agensi

Jakarta: Indonesia dilanda 1,985 bencana alam dari 1 Januari hingga 11 November tahun ini, yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun, dan dijangka meningkat akibat keadaan hidrologi yang tidak stabil, lapor Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

BNPB juga meramalkan Indonesia berdepan lebih banyak bencana alam hingga Januari tahun depan akibat fenomena cuaca La Nina tahun ini.

Fenomena cuaca La Nina itu menyebabkan hujan lebat dan banjir besar di seluruh negara.

“Wilayah yang sebelum ini tidak terjejas kini berisiko dilanda bencana alam akibat fenomena ini.

“Beberapa kawasan di Bandung, Jawa Barat contohnya turut dilanda banjir besar akibat tidak mampu menampung jumlah hujan yang sangat banyak,” kata Jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Berdasarkan data BNPB yang dikeluarkan baru-baru ini, 659 daripada 1,985 bencana alam yang berlaku di Indonesia adalah banjir.

Ia diikuti ribut dan tanah runtuh yang masing-masing mencatat 572 dan 485 kejadian.

Bencana tahun ini menjejaskan 2.52 juta mangsa dengan 375 daripada mereka maut dan 383 lagi cedera.

Walaupun tinggal sebulan lagi sebelum tahun ini berakhir tetapi data berkenaan menunjukkan 2016 adalah tahun terburuk bencana alam melanda Indonesia dalam tempoh 10 tahun.

Tahun kedua paling buruk ialah 2014 apabila Indonesia dilanda 1,967 bencana alam.

“Kami meramalkan hujan akan meningkat hingga ke kemuncak pada Januari tahun depan.

“Data kami menunjukkan di Indonesia, Januari adalah bulan paling banyak bencana alam melanda negara ini,” kata Sutopo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 7:53 AM