MOHAMED Apandi menyampaikan sumbangan kepada suami Anisah, Pegawai Kastam Kanan, Mohd Baharuddin Hamid. FOTO Muhd Faris Zainuldin
MOHAMED Apandi menyampaikan sumbangan kepada suami Anisah, Pegawai Kastam Kanan, Mohd Baharuddin Hamid. FOTO Muhd Faris Zainuldin
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api bagi pasukan penguatkuasa ketika menjalankan tugas.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, SOP penggunaan senjata api oleh semua agensi keselamatan di bawah Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) masih samar terutama ketika nyawa terancam.

Katanya, pasukan penguatkuasa masih kurang jelas dengan SOP berkenaan, jadi Jabatan Peguam Negara akan berbincang dengan ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung perkara itu.

"Kita akan memberi nasihat dan merangka satu SOP baru supaya pegawai penguatkuasa tidak takut menggunakan senjata api apabila nyawa diancam," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra JKDM Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian pegawai JKDM, Anisah Ali, 54, yang maut selepas kenderaan dinaiki bersama dua rakan ketika bertugas dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas Oktober lalu.

Anisah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 4:53 PM