Laporan Harian Metro semalam.
Laporan Harian Metro semalam.
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Seramai sembilan daripada 23 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling, dekat sini, yang dimasukkan ke Hospital Baling, kelmarin akibat keracunan makanan dibenarkan pulang.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, semua pelajar terbabit dibenarkan pulang semalam manakala 14 lagi masih ditahan di wad bagi pemerhatian lanjut.

"Bagaimanapun, kita difahamkan 10 pelajar dijangka dibenarkan pulang hari ini manakala empat lagi masih dipantau sehingga keadaan mereka benar-benar stabil," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, sebentar tadi.

Semalam, Harian Metro melaporkan seramai 68 pelajar MRSM Baling dibawa ke Hospital Baling akibat keracunan makanan dipercayai selepas menikmati makanan tengah hari di kantin sekolah berkenaan.

Pelajar berusia 13 sehingga 18 tahun terbabit dikatakan mengalami cirit-birit, muntah dan loya selepas menikmati hidangan ayam goreng, daging masak hitam, sambal, nasi briyani serta nasi putih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 4:36 PM