MESIN judi yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan PDRM
MESIN judi yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan PDRM
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Polis Sarawak membanteras 29 aktiviti perjudian di 10 daerah di negeri ini dan tahan 82 individu dalam operasi bermula 31 Oktober hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, sebanyak 17 serbuan berkaitan penjualan loteri awam tanpa lesen, sembilan judi dalam talian dan tiga judi sabung ayam.

Menurutnya, seramai 82 individu berusia 16 hingga 76 tahun ditahan sepanjang operasi dan merampas wang berjumlah RM16,277.

"Tangkapan judi sabung ayam membabitkan tangkapan terbanyak iaitu seramai 45 kaki judi di tiga lokasi di Padawan, Bintulu dan Kota Samarahan.

"Seramai 21 pengusaha loteri awam tanpa lesen ditahan dalam 17 serbuan dan merampas pelbagai barang yang digunakan serta wang berjumlah RM13,132," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Dev berkata, operasi membanteras kegiatan perjudian di negeri ini akan dijalankan berterusan di setiap daerah bagi memastikan ia bebas dari aktiviti perjudian tanpa lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 12:57 PM